Pernah dengar istilah terlelap sejenak? Ia lebih dikenali sebagai microsleep, iaitu apabila seseorang tertidur seketika dan tidak dapat mengawalnya. Di Malaysia banyak kes sebegini sering berlaku kepada pemandu-pemandu lori dan mengakibatkan kemalangan yang dahsyat. Tetapi dengan teknologi, perkara ini dapat diselesaikan dengan mudah. Ia bermula di China.
Di China, terdapat banyak lori penghantaran kerana di negara sana logistik adalah antara penyumbang terhadap perkembangan ekonomi. Lebih-lebih lagi musim Covid-19 yang membuatkan orang ramai membeli-belah secara atas talian. Oleh yang demikian, setiap pemandu lori penghantaran ini dipantau agar tidak tertidur, leka, barang-barang pelanggan yang dihantar tidak dicuri dan pelbagai lagi.
G7 adalah syarikat di sebalik pemantauan ini. Ia menjadikan lori-lori ini pintar melalui teknologi peranti berhubung. Terdapat kamera, sensor dan pelbagai lagi gajet unik yang menjadikan sesebuah lori itu sentiasa di pantau untuk mengenalpasti tingkah laku pemandu. Suhu lori dipantau untuk yang menghantar barangan sejuk beku, sistem kecerdasan buatan untuk mengecam pemandu sama ada tidur atau tidak, memberi amaran agar pemandu terjaga dan juga membuat panggilan kepada pusat khidmat bantuan untuk memberikan peringatan tiba masa untuk rehat.
Teknologi yang G7 gunakan ini turut menarik perhatian orang ramai, lebih-lebih lagi pelabur kerana percaya yang teknologi ini boleh membantu dunia. Menurut Crunchbase, G7 menerima dana sehingga $510 juta dalam enam pusingan. Syarikat Vision Fund 2 dari SoftBank Group Corp. ada melabur ke Flock Freight iaitu syarikat di California yang menawarkan sistem lebih kurang sama untuk lori penghantaran. Pelaburan Softbank ini mencapai $ 113.5 juta.
Hasrat mereka kelak, sistem ini boleh ditawarkan kepada umum dan turut menjadikan teknologi mendigitalkan semuanya akan lebih meluas. Mereka ingin mengubah sistem penghantaran, agar dengan pemantauan perkhidmatan ini kekal menjadi fokus yang baik.