Antara kekurangan Android berbanding iOS ialah sokongan sistem operasi yang lebih pendek. Hanya sebilangan kecil pengeluar seperti Google, Samsung, dan Nokia komited untuk memberikan kemas kini sistem operasi selama tiga tahun. Google dan Qualcomm hari ini mengumumkan kerjasama yang akan memastikan peranti dengan pemproses Snapdragon menerima kemas kini versi Android selama tiga tahun dan tampalan sekuriti pula selama empat tahun.
Kemas kini yang lebih lama ini dapat dilakukan menerusi Project Treble. Pemproses dengan Snapdragon 888 akan menjadi yang terawal menikmati sokongan kemas kini tiga tahun ini. Google mengesahkan selepas ini kesemua peranti Android 11 dengan cip Snapdragon turut akan menerima sokongan yang sama. Ini sedikit sebanyak akan memberikan keyakinan kepada pengguna Android untuk menggunakan peranti untuk tempoh yang lebih lama.
Kerisauan hanyalah terletak pada janji-janji sebelum ini. Walaupun Project Treble menjanjikan kemas kini lebih pantas sejak tiga tahun lalu, ini tidak berlaku sepantas iOS. Android berkata proses kemas kini ke Android 11 berlaku lebih pantas tahun ini tetapi sebagai pengguna kami hanya ingin ia dipercepatkan lagi.