Cari @ Amanz

Bentuk kenderaan berubah setiap dekad. Ianya semakin besar bagi memenuhi piawaian keselamatan semasa dan keperluan ruang yang lebih selasa untuk penumpang. Apakah evolusi seterusnya pada rekaan kereta di masa hadapan? Di Nissan ia adalah kenderaan yang dipandu meniarap yang dikawal dengan gelombang otak.

Nissan GT-R(X) 2050 ialah kenderaan konsep terkini yang diperlihatkan oleh mereka. Kereta kompak ini hanya selebar 2 kaki dan sepanjang 10 kaki dengan ruang untuk seorang pemandu dengan profil rendah. Pemandu meniarap dalam ruang kokpit dan perlu memakai helmet khas yang membaca gelombang otak untuk mengawalnya. Di masa hadapan, kereta juga boleh-pakai seperti jam tangan pintar menurut visi Nissan.

Dengan profil rendah, rintangan udara adalah rendah sekaligus meningkatkan kelajuan kenderaan yang dipandu. Tiada sebarang cermin disertakan sebaliknya kamera pada bahagian luar menjadi mata dan imej dipaparkan pada helmet pemandu.

Keempat-empat tayar bebas berputar 360 darjah. Secara teorinya kenderaan bebas bergerak ke mana-mana arah mengikut arahan otak pemandu. Sebagai kereta konsep ia memang langsung tidak praktikal tetapi memang adalah rekaan amat di luar kotak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd