Peranti Android TV kebiasaannya akan hadir dalam bentuk kotak set. Dongel biasanya produk-produk Chromecast atau Miracast sahaja. Tetapi semasa pelancaran Pixel 4a 5G dan Pixel 5, Google telah memperkenalkan Chromecast with Google TV – iaitu dongel Android TV yang berkuasa sambil kekalkan bentuk seakan Chromecast biasa.

Tidak dinafikan, yang Android TV berbentuk dongel sudah banyak. TiVo Stream 4K, walaupun berbentuk segi empat tetapi ia masih dalam kategori dongel lagi. Terkini, Motorola dilaporkan akan hadir dengan dongel Android TV tersendiri – khusus untuk pasaran India. Dongel ini dikatakan hanyalah ODM, bermakna Motorola akan pilih produk sedia ada dan melabelkan produk ini dengan jenama mereka.
Dongel Android TV ini dikatakan adalah ODM dari Shenzhen SDMC Technology Co. Ltd. Ia sudah digunakan oleh banyak jenama seperti HAKO Mini (Taiwan), Polaroid SmartBox S, dan Philips NeoViu D1. Dengan Motorola memasuki arena ini, ia akan bertanding dengan produk seperti Mi TV Stick, Mi Box S, Amazon Fire TV Stick dan juga Nokia Media Streamer.