Perasan atau tidak, tanda tagar #BaikBeliPoco sering kali membanjiri media sosial. Di sini, kita boleh kata Poco sememangnya mempunyai kelompok peminat tersendiri yang besar. Bukan itu sahaja, mereka juga sering mencuri perhatian ramai dengan kemunculan barisan peranti pintar berkuasa yang ditawarkan pada harga di luar jangkauan akal. Lihat sahaja contoh terdekat, Poco M3 misalnya.
Harga yang ditawarkan adalah bermula RM599 tetapi sarat dengan pelbagai spesifikasi yang boleh dikatakan menarik. Maksud kami adalah spesifikasi yang sukar untuk kita temui pada sejumlah pesaing lain dalam kelas yang sama. Sehingga ke hari ini, peranti pintar ini tidak henti-henti menerima pujian daripada segenap pengguna. Selepas perhatikan keadaan ini, rasanya sudah tiba giliran kami di Amanz pula berkongsi ulasan dan pendapat mengenai peranti pintar ini. Untuk ketahui lebih lanjut, teruskan membaca sehingga ke penghujung artikel.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Poco M3 | |
---|---|
Skrin | 6.53″ DotDisplay, LCD, FHD+, 60Hz |
Pemproses | Snapdragon 662 (11nm) |
Cip | 1 X 3.13 GHz Cortex A77 3 X 2.54 GHz Cortex A77 4 X 2.05 GHz Cortex A55 |
Cip Grafik | Adreno 610 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64/128 GB (microSD 512GB) |
Kamera Utama | 48 + 2 + 2 Megapixel (f/1.79 + f/2.4 + f/2.4) |
Kamera Depan | 8 Megapixel (f/2.4) , 4K 60p |
Bateri | 6000mAh Pengecasan Pantas 18W Pengecasan berwayar 22.5W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari di sisi |
Harga Jualan | Bermula RM599 |
Paparan
Sama seperti ulasan lain, perkara pertama yang akan kami sentuh adalah mengenai paparan. Poco M3 membawakan skrin bersaiz 6.53-inci IPS LCD dengan resolusi FHD+. Perasan atau tidak, di sinilah letaknya salah satu kelebihan pada Poco M3 berbanding yang lain. Paparan dengan resolusi FHD+ pada sesebuah peranti kelas permulaan adalah perkara yang boleh dikatakan sukar untuk kita temui. Bahkan, kita sendiri juga boleh lihat kebanyakan pesaing hanya menggunakan skrin dengan resolusi HD+. Kiranya di sini, Poco M3 hadir dengan bonus menarik buat penggunanya.
Binaan bezel juga kelihatan agak nipis untuk bahagian sisi dan atas peranti. Tetapi, tidak pada bahagian bawah. Sebabnya, bezel pada bahagian ini kelihatan agak tebal. Namun, rasanya tidak banyak yang boleh dikomen mengenainya. Kerana, ia boleh dikatakan satu perkara biasa untuk peranti dalam kelas sebegini. Seterusnya, Poco M3 juga menggunakan skrin jenis bertakuk kecil untuk peletakan kamera hadapan. Kamera swafoto di sini sebesar 8-Megapixel dan kami akan bercerita lebih lanjut mengenai prestasinya kemudian.
Meskipun, Poco M3 menggunakan skrin jenis LCD. Ia masih mampu memberikan kualiti skrin yang baik. Jika anda menonton atau mungkin melihat apa-apa imej melaluinya, anda akan perasan warna yang dipaparkan sememangnya nampak hidup dan cantik. Sudut pandang juga nampak baik. Bukan itu sahaja, skrin ini juga dilihat mempunyai kecerahan memuaskan dengan setiap butiran yang nampak jelas. Cubaan kami menonton video HDR di Youtube juga mendapati telefon pintar ini mempunyai sokongan 1080P 60FPS.
Rekaan
Bergerak pada rekaan, ini juga adalah ciri menarik lain pada Poco M3. Perasan atau tidak, sewaktu awal-awal peranti pintar ini mula diperkenalkan tempoh hari. Ramai yang kelihatan teruja dengan rekaan pada panel belakang peranti ini. Tidak henti-henti orang bercakap mengenainya dan rata-rata menyamakannya dengan rekaan pada OnePlus 8T Cyberpunk 2077. Tapi, anda perlu tahu bahawa masih terdapat perbezaan dari segi penampilannya.
Jika diperhatikan dengan teliti, panel kamera yang besar ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Satu, bahagian untuk penjenamaan Poco yang besar. Kemudian, satu lagi adalah bahagian untuk modul kamera utama itu sendiri. Turut dapat dilihat, bonggol kamera utama yang digunakan di sini tidak begitu tebal dan boleh diterima.
Cukup unik dan tersendiri. Rasanya inilah kata-kata yang sesuai untuk kami menggambarkan idea kemasan yang disertakan ini. Agak tidak mengejutkan juga, sekiranya kelak ia menjadi ikutan lebih ramai pengeluar lain. Secara peribadi, kami akui suka akan kemasannya. Ia nampak seakan menggunakan bahan berasaskan kulit bukan?
Tapi, anda jangan tertipu. Panel belakang ini sebenarnya hanya menggunakan bahan berasaskan plastik dengan tekstur yang kelihatan seakan kulit. Pada pandangan kami, penggunaan bahan plastik ini sebenarnya bukanlah satu masalah yang besar. Jika perasan, kebanyakan pesaing lain dalam kelas yang sama juga masih menggunakan panel sebegini.
Berbalik semula kepada kemasan. Selain nampak segar dan terkini, kemasan ini juga mampu memberi cengkaman yang baik di tangan. Ditambah lagi dengan binaan yang sangat baik dan kukuh – sekaligus menjadikannya terasa selesa sahaja sepanjang digunakan. Unit ulasan untuk artikel ini berwarna Power Black. Ia menggunakan kemasan dalam warna hitam secara menyeluruh. Boleh dikatakan lebih sesuai untuk pengguna yang menggemari kemasan dengan warna yang gelap. Namun sekiranya, anda seorang yang lebih menyukai rona warna ceria. Poco M3 dalam warna Poco Yellow dan Cool Blue adalah pilihan yang lebih sesuai.
Untuk rekaan bahagian sisi pula, ia menempatkan butang kuasa dan laras suara di bahagian kanan. Manakala, slot untuk SIM pula pada sisi bertentangan. Slot SIM ini turut menawarkan ruangan yang berasingan – sekaligus membolehkan pengguna menggunakan dua SIM berbeza sepenuhnya tanpa perlu dikongsikan dengan microSD. Kemudian, anda juga boleh temui bicu audio 3.5mm, sensor IR dan pembesar suara pada bahagian atas. Seterusnya, terdapat satu lagi pembesar suara di bahagian bawah yang diletakkan bersama-sama port sambungan USB-C.
Alang-alang menyentuh soal pembesar suara. Ini juga merupakan bahagian yang menarik pada Poco M3. Peranti ini dilengkapi sistem pembesar suara stereo. Dari segi prestasi, ia boleh dikatakan baik dengan penghasilan bunyi yang lantang. Tetapi, audio yang terhasil dilihat tidak seimbang. Mengapa kami berkata sebegini? Bunyi pada bahagian bawah kedengaran lebih kuat, berbanding pembesar suara di bahagian atas yang didapati agak perlahan.
Ia bagaimanapun, boleh dikatakan memadai dan agak tidak adil untuk terus memberi pandangan negatif padanya. Kerana, ia hanya sebuah peranti kelas permulaan dan tidak banyak peranti lain dalam kelas yang sama turut disertakan penawaran sebegini.
Prestasi
Poco M3 menggunakan cip pemproses Snapdragon 662. Ia merupakan cip lapan teras yang menggunakan binaan berasaskan 11nm. Selain, ia turut dilengkapi GPU yang sama seperti cip Snapdragon 460 iaitu Adreno 610. Untuk memori, ia dibekalkan RAM 4GB dan pilihan storan 64 / 128GB. Dari segi antaramuka pula, menjalankan Android 10 dengan MIUI 12 for Poco.
Tidak ketinggalan, kmai juga sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras pada peranti ini. Antaranya seperti Antutu dan juga Geekbench. Melaluinya, ia memperlihatkan Poco M3 berjaya meraih sebanyak 182033 mata untuk ujian Antutu. Manakala, 315 mata untuk ujian satu teras dan 1357 mata untuk ujian pelbagai teras di Geekbench.
Baiklah, rasanya ini mungkin bahagian yang bakal menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pembaca. Tetapi, ini adalah berdasarkan pengalaman kami sendiri. Poco M3 didapati mempunyai masalah prestasi. Apa yang boleh kami katakan, prestasinya cukup kurang memuaskan. Di mana, ia mempunyai masalah sela masa yang ketara. Terutamanya, ketika peranti ini digunakan untuk bermain permua (permainan mudah alih).
Bukan itu sahaja, masalah yang sama turut boleh dirasai ketika aplikasi kamera diakses. Di mana, peralihan daripada satu mod ke mod yang lain dilihat sedikit mengambil masa. Kemudian, sokongan pengimbas cap jarinya juga agak kurang responsif, di mana ia mengambil sedikit masa untuk menyahkunci peranti.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda mahu menggunakan Poco M3 sebagai telefon untuk media sosial atau melayari web. Ia sememangnya memadai. Sebabnya, Poco M3 mampu melakukan fungsi asas sesebuah telefon pintar dengan bagus. Namun, jika anda mahukan yang lebih daripada itu. Apa yang boleh kami katakan, prestasinya agak mengecewakan.
Kamera
Poco M3 menggunakan sistem tri-kamera utama yang disusun secara menegak di dalam modul kamera yang berbentuk segi empat. Konfigurasi kamera ini terdiri dengan 48-Megapixel untuk sensor utama. Seterusnya, diikuti dengan dua lagi lensa sebesar 2-Megapixel untuk sensor kedalaman dan juga makro.
Beberapa fungsi lain turut boleh didapati seperti Macro Mode, 48MP Mode, Panorama, Time-Lapse dan banyak lagi untuk menambah baik fungsi rakaman ketika melakukan penggambaran. Tidak ketinggalan, ia juga menyajikan fungsi mod malam khusus untuk hasil penggambaran malam yang lebih menarik. Untuk rakaman video pula, Poco M3 mampu merakam video dengan tetapan tertinggi sehingga 1080P/30FPS.
Dari segi kualiti, gambar dilihat memberi hasil yang baik selagi ia menerima pencahayaan yang cukup. Selain itu, ia juga mampu memberi prestasi penggambaran yang terang bersama perincian imej memuaskan. Kemudian, rata-rata hasil penggambaran malam juga memberikan kualiti yang memuaskan. Dapat dilihat pada gambar yang disertakan, ia mampu menyajikan butiran yang cukup dan warna yang nampak baik.
Meskipun begitu, lain pula ceritanya untuk hasil gambar makro. Ia dilihat menghasilkan gambar yang kurang memuaskan kerana hasilnya dilihat tidak begitu jelas. Boleh dikatakan, lensa makro 2-Megapixel pada telefon ini hanya sekadar gimik. Rasanya, adalah lebih baik sekiranya Poco menggunakan lensa ultra-lebar.
Bergerak ke kamera swafoto, sensor sebesar 8-Megapixel digunakan di sini. Gambar yang terhasil nampak memuaskan dengan perincian imej yang baik. Seterusnya, warna yang terhasil juga nampak baik untuk telefon sebegini.
Bateri
Satu lagi titik tumpuan pada Poco M3 adalah sokongan bateri yang besar iaitu berkapasiti 6,000mAh. Boleh dikatakan, kapasiti bateri sebegini rasanya lebih daripada cukup untuk penggunaan harian. Seterusnya, Poco turut menyertakan sokongan pengecasan pantas 18W menerusi sambungan USB-C sebagai pelengkap. Namun, mereka menyediakan pengecas 22.5W di dalam kotak.
Untuk prestasi, Poco M3 dilihat mencatatkan bacaan Screen-On-Time (SOT) yang baik iaitu sekitar 11 jam dengan skrin terpasang sepanjang hari. Anda juga boleh mendapatkan ketahanan lebih daripada satu hari dengan penggunaan yang ringan.
Perbandingan Pesaing Peranti
Poco M3 | Realme C15 | Oppo A53 |
6.53″ IPS LCD, 1080 x 2340, 60Hz (395 PPI) | 6.5″ IPS LCD, 720 x 1600, 60Hz (270 PPI) | 6.5″ IPS LCD, 720 x 1600, 90Hz (269PPI) |
Snapdragon 662 (11 nm) 4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold 4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver | Snapdragon 460 (11 nm) 4 x 1.8 GHz Kryo 240 4 x 1.6 GHz Kryo 240 | Snapdragon 460 (11 nm) 4 x 1.8 GHz Kryo 240 4 x 1.6 GHz Kryo 240 |
Adreno 610 | Adreno 610 | Adreno 610 |
4 Gigabyte | 4 Gigabyte | 4 Gigabyte |
64 / 128 Gigabyte | 64 / 128 Gigabyte | 64 Gigabyte |
Kamera Utama : 48 MP (f/1.8) – (Lebar) 2 MP (f/2.4) – (Makro) 2 MP (f/2.4) – (Kedalaman) | Kamera Utama : 13MP (f/2.2) – (Utama) 8MP (f/2.25) – (Ultra Lebar) 2MP (f/2.4) – (B&W) 2MP (f/2.4) – (Retro) | Kamera Utama : 13MP (f/2.2) – (Utama) 2MP (f/2.4) – (Kedalaman) 2MP (f/2.4) – (Makro) |
Kamera Hadapan 8-Megapixel f/2.1 | Kamera Hadapan 8-Megapixel (f/2.0) | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.0 |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air |
Bicu Audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Cool Blue, Poco Yellow, Power Black | Seagull Silver, Marine Blue | Electric Black, Fancy Blue |
6,000mAh (Pengecasan 18W) | 6,000mAh (Pengecasan 18W) | 5,000mAh (Pengecasan 10W) |
Bermula RM599 | Bermula RM599 | RM699 |
Kesimpulan
Jadi, apa yang dapat kami simpulkan di sini? Poco M3 lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan peranti pintar untuk media sosial atau melayari web. Tetapi, bukan untuk pengguna yang fokus pada permainan mudah alih yang ekstrem. Ia berikutan, Poco M3 mempunyai masalah prestasi dengan sela masa yang agak ketara. Ia bagaimanapun, sebenarnya sudah memang boleh dijangkakan bagi sebuah peranti kelas permulaan.
Meskipun begitu, pada tanda harga bermula RM599. Poco M3 merupakan peranti yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Ditambah lagi dengan sejumlah ciri menarik lain seperti skrin FHD+, bateri besar dengan sambungan USB-C dan sokongan pembesar suara stereo. Penawaran pada Poco M3 dirasakan lebih berbaloi berbanding pesaing lain seperti Realme C15 dan Oppo A53 misalnya.
Pro
- Penawaran harga hebat berbanding pesaing.
- Binaan kukuh dan selesa di tangan.
- Paparan IPS LCD dengan warna yang sangat cantik.
- Mempunyai sokongan pembesar suara stereo.
- Hadir dengan kapasiti bateri yang besar.
- Keupayaan kamera memuaskan.
Kontra
- Masalah sela masa yang ketara.
- Sekadar sesuai untuk penggunaan asas.
- Audio tidak seimbang.