Amerika Syarikat Akan Mengharamkan Perdagangan Dengan Banyak Lagi Syarikat China – Termasuk SMIC

Amerika Syarikat Akan Mengharamkan Perdagangan Dengan Banyak Lagi Syarikat China – Termasuk SMIC

Diterbitkan pada Dis 18, 2020 oleh .

Joe Biden sudahpun disahkan akan menjadi presiden Amerika Syarikat ke-46 pada bulan hadapan, tetapi buat masa ini, Donald Trump masih lagi mengepalai kedudukan eksekutif negara tersebut.

Terkini, Reuters telah melaporkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat, melalui Bahagian Perdagangan mereka akan mengharamkan perdagangan sepenuhnya dengan sejumlah besar syarikat-syarikat China, dimana salah satu daripadanya ialah syarikat pembangun silikon terbesar di China, SMIC.

Ini bukanlah kali pertama sekatan dikenakan keatas SMIC. Sebelum ini, kami pernah melaporkan bahawa perdagangan dengan syarikat tersebut adalah terhad kepada syarikat-syarikat Amerika yang mempunyai lesen untuk membuat bisnes dengan mereka, kerana kerisauan bahawa komponen-komponen yang dikeluarkan akan digunakan untuk tujuan ketenteraan China.

Senarai hitam kali ini mengesahkan bahawa SMIC tidak lagi boleh berdagang dengan mana-mana perniagaan Amerika, ataupun syarikat-syarikat yang menggunakan teknologi Amerika.

Langkah terbaru ini dilihat sebagai cubaan presiden Amerika sekarang untuk menyekat sebanyak mana syarikat yang boleh dilakukannya sebelum beliau hilang jawatannya pada awal tahun hadapan.



Paling Popular