Penimbang pintar adalah satu lagi trend dari pengeluar peranti. Ia adalah pelengkap kepada pemilik penjejak kesihatan atau jam tangan pintar. Penimbang ini turut boleh ditambat pada peranti pengguna, akaun boleh diselarikan dan data-data yang diperoleh akan lebih jitu dengan cadangan diet, data kesihatan, berat optimum yang patut dicapai atau juga kalori yang patut seseorang itu bakar.
Xiaomi ada penimbang tersendiri, Huawei dan Realme juga ada, apatah lagi jenama yang memfokuskan gajet kesihatan seperti Garmin? Garmin sudah lama hadir dengan penimbang pintar, terkini Index S2 iaitu versi terbaru mereka sudah boleh dibeli di Malaysia. Harga jualan hanya RM699 sahaja.
Penimbang ini hadir dengan skrin berwarna resolusi tinggi untuk memaparkan data-data pengguna, ada fungsi paparan graf trend mengenai berat pengguna, data-data yang diperoleh adalah lebih jitu, serta data biometrik turut boleh dipaparkan untuk pengguna berbeza seperti pengguna biasa dan atlet. Dengan data-data yang jitu, kadar penghidratan dalam badan turut boleh dipantau.