SKMM Memperlihatkan Pencapaian JENDELA Pada Suku Keempat Tahun Ini

SKMM Memperlihatkan Pencapaian JENDELA Pada Suku Keempat Tahun Ini

Diterbitkan pada Dis 18, 2020 oleh .

Pada pertengahan tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperkenalkan JENDELA, iaitu sebuah pelan untuk meningkatkan lingkungan dan kualiti sambungan telekomunikasi mudah-alih dan juga memastikan Malaysia bersedia untuk teknologi 5G apabila ia diperkenalkan dalam masa beberapa tahun lagi.

Sehingga tahun 2022 kelak, agenda JENDELA secara keseluruhannya ialah untuk memastikan bahawa hampir 100 peratus rakyat Malaysia dapat menikmati sambungan gentian optik dan 4G yang pantas, tidak kira lokasi mereka.

Untuk merealisasikan matlamat tersebut, SKMM mengatakan bahawa mereka akan memperlihatkan samada matlamat-matlamat yang ditetapkan setiap suku tahunan dicapai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi ini ataupun tidak.

Fokus suku pertama ini adalah untuk syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan untuk menaiktarafkan kelengkapan telekomunikasi mereka, yang termasuklah meningkatkan capaian gentian optik dan juga menaiktarafkan dan membina menara-menara telekomunikasi baru.

Menurut laporan JENDELA yang baru sahaja dikeluarkan, ia dilaporkan bahawa sebanyak 435,947 premis baru boleh mengakses perkhidmatan gentian optik menjelang hujung tahun ini, melangkaui jangkaan 352,101 premis yang ditetapkan oleh SKMM.

Setakat 16 Disember 2020, sebanyak 433,477 premis sudahpun boleh mula menikmati perkhidmatan internet gentian optik ini bermula hari ini.

Untuk pembinaan dan penaiktarafan tapak internet mudah-alih pula, laporan JENDELA tersebut memperlihatkan bahawa 875 tapak baru telah bina, tidak mencapai sasaran SKMM sebanyak 940.

Walaupun begitu, sebanyak 16,366 tapak menara telekomunikasi telah dinaiktarafkan, iaitu 100.9 peratus daripada sasaran 16,214 menara yang perlu dinaiktarafkan pada penghujung suku ini.

Pihak SKMM mengatakan bahawa terdapat beberapa syarikat telekomunikasi yang tidak sempat menyiapkan pembangunan menara-menara 4G yang baru ini, dan U Mobile, Digi dan Celcom adalah tiga daripada syarikat-syarikat yang tidak boleh sempat membangunkan menara-menara mereka.

Antara sebab yang dinyatakan termasuklah perancangan yang tidak betul, tentangan daripada pihak awam, kelewatan pengesahan dari pihak kerajaan tempatan, kelewatan dalam pengesahan tapak dan juga arahan PKP yang tidak membolehkan mereka menyiapkan tapak-tapak ini.

SKMM mengatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan untuk cuba memperbaiki lagi kadar pembangunan menara-menara ini.

Mereka juga akan berbincang dengan pihak kerajaan tempatan untuk mempercepatkan lagi proses pengesahan tapak-tapak baru supaya rakyat boleh menikmati capaian internet mudah-alih.

Laporan seterusnya dijangka akan diperlihatkan pada bulan April kelak, apabila SKMM dan syarikat-syarikat telekomunikasi lain mempunyai lebih banyak maklumat untuk dikongsi.


Paling Popular