Cari @ Amanz

Kita sedia tahu, cip MediaTek Dimensity 720 merupakan sebuah pemproses 5G kelas pertengahan yang hadir dengan teknologi 7nm. Dalam perkembangan terkini, sebuah peranti Samsung dengan cip ini didakwa telah tersenarai di laman Geekbench.

Peranti berkenaan dilihat muncul dengan nombor model Samsung SM-A326B. Seperti kebiasaannya, penyenaraian akan mendedahkan sedikit sebanyak maklumat berkaitan spesifikasi dalaman peranti. Melaluinya, kita boleh lihat, ia dipercayai hadir dengan memori 4GB RAM dan menjalankan sistem operasi Android 11.

Seterusnya, maklumat cip tidak didedahkan secara khusus, tetapi kod nama MT6853V/NZA dikatakan berkait rapat dengan pemproses MediaTek Dimensity 720. Ini sahaja maklumat yang diketahui buat masa ini. Terdapat ura-ura mengatakan ia mungkin akan dilancarkan sebagai Samsung Galaxy A32 5G kelak.

Samsung Galaxy A32 5G sebelum ini pernah tertiris dalam beberapa imej pengolokan. Peranti ini dipercayai hadir dengan rekaan skrin yang rata, sistem kuad-kamera utama, paparan hadapan bertakuk kecil dengan saiz 6.5-inci, pengimbas cap jari sisi, dan port pengecasan USB-C.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd