Nanoleaf adalah lampu pintar yang sangat menarik. Ini kerana ia adalah panel lampu yang modular, disambung antara satu sama lain dengan penyesuai seakan kad SIM, boleh dikawal dengan aplikasi atau juga Google Assistant. Tidak dinafikan yang ramai cuba hadir dengan versi klon, tetapi sama ada harga lebih mahal atau kualiti sangat teruk.

Terkini, Xiaomi pula dilihat cuba hadir dengan produk yang lebih kurang sama. Tetapi ia adalah produk biayasama, yang mana Xiaomi hanya menyediakan platform untuk mengumpul dana. Lampu ini adalah Hui Smart Wall Lamp yang menawarkan fungsi yang lebih kurang sama dengan sokongan kawalan aplikasi, sokongan pembantu digital Xiao AI, sambungan menggunakan seakan sejenis kad SIM – tetapi dijual pada harga yang lebih murah.


Hui Smart Wall Lamp ini boleh dicabut dan pengguna boleh membuat rekaan sendiri dengan sambungan seberapa banyak unit lampu yang diingini. Ia boleh dilekat pada dinding, tembok atau juga tingkap. Ia juga mempunyai fungsi Music Rhytm, yang mana cahaya lampu boleh berfungsi seakan animasi dan bergerak mengikut permainan video yang pengguna main atau muzik yang sedang dimainkan.
Xiaomi Youpin turut memudahkan pengguna dengan menjual pakej dengan unit lampu modular yang mencukupi untuk sesuatu jenis rekaan. Contohnya, Aries dengan 12 unit lampu, Leo dengan pakej yang mempunyai 10 unit, Sagitarius dengan 9 unit, satu unit sahaja sebagai tambahan atau juga pakej lengkap dengan 25 unit. Harga jualan adalah bermula dari RMB99 (~RM61) dan mencapai sehingga RMB2219 (~RM1,368).