Sony Memfokuskan Arena Masakan Dengan Resipi Berasaskan AI, Dan Robot Bantu Memasak

Sony Memfokuskan Arena Masakan Dengan Resipi Berasaskan AI, Dan Robot Bantu Memasak

Diterbitkan pada Dis 19, 2020 oleh .

Sony sedia mempunyai perniagaan yang memfokuskan kepada arena permainan, dan juga pengimejan serta sensor. Kini, selain daripadanya, Sony juga dilihat sedang memfokuskan kepada arena masakan.

Dinamakan sebagai Gastronomy Flagship Project, pihak Sony inign menggunakan kelebihan kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan resipi baru, disamping turut menghasilkan robot yang membantu proses memasak.

Sony melalui kecerdasan buatan mereka akan mengkaji dan membangunkan sebuah aplikasi penghasilan resipi – yang mengambil kira penggunaan ramuan, rasa, aroma, struktur dan sebagainya dalam menghasilkan masakan yang lebih menarik dan unik. Disamping menghasilkan makanan yang sedap, Sony juga akan menggunakan kelebihan kecerdasan buatan dalam menghasilkan makanan yang sihat dan mesra persekitaran.

Pada masa yang sama, penyelesaian robotik bakal dibangunkan Sony untuk membantu chef dalam memasak. Memasak boleh dikatakan sebuah proses yang mencabar dan mempunyai kaedah penyediaan berbeza-beza mengikut jenis masakan. Dengan penghasilan kecerdasan buatan dan integrasi dengan arena robotik, Sony ingin menyelesaikan masalah ini.

Disamping itu, Sony juga mengatakan akan bekerjasama dengan komuniti dalam arena ini. Untuk tujuan berkenaan, Sony akan menerbitkan sebuah siri temuramah bersama chef melalui laman web mereka.

Dengan perkembangan terbaru ini, sama-sama kita nantikan apakah yang bakal ditawarkan oleh Sony melalui projek terbaru ini.



Paling Popular