Apple pada minggu ini telah memperkenalkan iOS 14.3 yang kini memaparkan data yang diakses oleh sesuatu aplikasi dari pengguna, dan bakal mengaktifkan ciri penghalang penjejak iklan pada peranti iOS14 pada awal 2021 kelak.
Selari dengannya, Facebook telah mendakwa Apple mengancam perniagaan kecil – dan telah memulakan pengiklanan yang menyerang Apple, serta mengatakan perkara ini memberikan impak terhadap perniagaan kecil di seluruh dunia.
Selari dengannya, kini Tim Cook hadir memberikan respon terhadap langkah Facebook berkenaan melalui Twitter.
Tim Cook mengatakan pengguna perlu diberi pilihan bagaimana data mereka digunakan, dan sekiranya mereka benarkan Facebook menggunakan data mereka, maka Apple tiada masalah dengan perkara berkenaan. Tim Cook mengatakan pengguna hanya perlu memberi kebenaran kepada aplikasi Facebook untuk menjejak beberapa data sahaja.
Apple dijangka akan mengaktifkan ciri penghalang penjejak iklan pada iOS 14 pada awal 2021 kelak. Perubahan ini dijangka akan memberikan impak pada pendapatan Facebook sendiri – dimana ia disasarkan mungkin sekitar 50%-60%. Selepas ia diaktifkan kelak, pengguna akan perlu memberikan kebenaran untuk sesuatu aplikasi bagi mengakses sesuatu data, termasuk untuk menjejak penggunaan.