Cari @ Amanz

Qualcomm sebelum ini telah memperkenalkan cip Snapdragon 888 – cip pemprosesan mercu mereka terbaru untuk tahun 2021, dan bakal menjana sejumlah telefon pintar mercu Android pada tahun akan datang.

Lanjutan pengenalan dan perkongsian spesifikasi Snapdragon 888 sebelum ini, kini pihak Qualcomm turut telah menerbitkan skor penanda aras yang dicapai oleh cip pemprosesan terbaru berkenaan.

Snapdragon 888 merupakan cip pertama berasaskan binaan 5nm, dilengkapi dengan sokongan Kyro 680 yang meningkatkan prestasi CPU sehingga 25% berbanding generasi sebelumnya, dan mencapai kelajuan 2.84Ghz. Disamping itu, sokongan grafik juga kini 35% lebih pantas melalui cip Snapdragon 888 ini.

Bagi memperlihatkan prestasi cip pemprosesan berkenaan, Qualcomm telah menggunakan sejumlah ujian penanda aras, dan menunjukkan skor yang dicapai.

Melalui ujian AnTuTu, penggunaan cip Snapdragon 888 ini mencatatkan skor sebanyak 735,439 – yang mana menerajui pelbagai skor peranti Android lain. Sebelum ini, penggunaan cip Snapdragon 865 mencatatkan skor sebanyak 671,045 mata melalui peranti Mi 10 Ultra.

Disamping itu, Geekbench juga mencatatkan skor sebanyak 1135 untuk satu teras, dan 3794 untuk multi-teras.  Ujian grafik GFX Bench pula memperlihatkan sokongan sehingga 86fps dan sehingga 169fps dalam ujian berasaskan Manhattan 3.0.

Qualcomm melakukan ujian ini berdasarkan peranti konsep mereka. Mereka turut mengatakan peranti komersil berasaskan Snapdragon 888 akan hadir pada suku pertama 2021 kelak, dan ujian skornya mungkin sedikit berbeza berdasarkan kepada penawaran memori, storan, dan juga kadar segar semula skrin – disamping perisian yang dijalankan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd