Carian
Spesfikasi Penuh Samsung S21 Ultra Tertiris
December 21, 2020 Effi Saharudin

Minggu baru dimulakan dengan satu lagi ketirisan maklumat mengenai Samsung Galaxy S21 Ultra. Peranti yang akan dilancarkan dalam masa beberapa minggu sahaja lagi ini akan menjadi peranti paling mercu Samsung untuk suku pertama 2021. Spesifikasinya telahpun tertiris dan sekali lagi menerusi laman WinFuture.

Samsung Galaxy S21 Ultra akan dilengkapi skrin 6.8″ yang rata dengan resolusi QHD+ 120Hz dari keluarga Dynamic AMOLED 2X. Ia dipadankan dengan cip Snapdragon 888 atau Exynos 2100, memori sehingga 12GB dan storan sehingga 512GB. Sementara itu bateri adalah sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan 45W tetapi palam pengecas tidak akan disertakan.

Kamera utama sebesar 108MP dipadankan dengan sensor 12MP sudut ultra lebar, 10MP telefoto zum 3X dan 10MP telefoto zum 10X periskop. Sistem pemfokusan laser Note20 Ultra digunakan semula bagi menggantikan sistem pemfokusan 3D ToF yang digunakan pada S20 Ultra tahun ini. Kamera hadapan pula dilengkapi sensor sebesar 40MP.

Dengan spesifikasi yang tinggi ini, Samsung berharap akan dapat memulakan 2021 dengan langkah kanan dan menggunakan momentum sedia ada untuk mengukuhkan kedudukan pasaran selepas Huawei tidak lagi mampu memberikan persaingan.

Komen