Cari @ Amanz

Menurut angka PDRM, sebanyak 5218 kes penipuan dilaporkan sehingga Oktober tahun ini yang menyebabkan kerugian RM256 juta. Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengelakkan diri menjadi mangsa. Antara yang paling popular ialah memasang aplikasi yang menyaring panggilan telefon seperti Truecaller.

Truecaller telah menerbitkan laporan mereka mengenai masalah panggilan spam di Malaysia. Menurut mereka 97% panggilan spam ini dilakukan menggunakan nombor tempatan. Kerana PKP, terdapat pengurangan mendadak panggilan spam diterima oleh pengguna. Ia turun ke sekitar 2 juta panggilan sehari pada bulan April berbanding lebih 7 juta panggilan sehari pada bulan Febaruari. Tetapi jumlah panggilan kini meningkat semula ke hampir 8 juta sehari pada bulan November.

Di Malaysia 41% panggilan spam adalah dari perkhidmatan kewangan diikuti pula oleh berunsur penipuan (24%), insurans (15%), telepemasaran (9%), operator (8%) dan pengutip hutang (3%). Truecaller juga mendapati panggilan spam dari perkhidmatan kewangan dan insurans meningkat tahun ini selari dengan situasi ekonomi global yang tidak stabil.

Yang menjadi kerisauan ialah 24% panggilan spam adalah penipuan. Tahun ini kes penipuan Macau menjadi perhatian ramai kerana jumlah kes yang tinggi serta melibatkan beberapa selebriti ternama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd