Mobvoi sangat aktif dalam arena jam tangan pintar Wear OS. Mereka sudah ada banyak model dan variasi, tidak kira dari yang murah sehingga yang premium. Jika anda ingin jam yang asas, Mobvoi turut tawarkan jam tangan pintar asas seperti TicWatch GTX dan jika anda ingin produk audio mereka turut mempunyai pilihan TWS, pembesar suara pintar atau juga set fon kepala.
Model terkini jam tangan pintar Wear OS mereka adalah TicWatch Pro 3 GPS. Ia ada dua versi, versi pertama adalah yang dijual di Malaysia secara rasmi tanpa sokongan e-SIM. Manakala, versi kedua mempunyai sokongan LTE yang memerlukan e-SIM dan tidak dijual di Malaysia secara ramsi. Tetapi sokongan eSIM ini, beberapa pengguna yang import melaporkan ia turut menyokong eSIM di Malaysia.
Apa yang menarik dengan TicWatch Pro 3 GPS ini adalah, ia dijana dengan Snapdragon Wear 4100. Ketika artikel ini ditulis, ia adalah satu-satunya jam tangan pintar Wear OS yang dijana dengan cip ini. Disebabkan cip ini juga, ia mengubah pengalaman penggunaan jam Wear OS menjadi sehebat anda menggunakan Apple Watch ataupun Galaxy Watch. Selama ini, Wear OS tidak digemari ramai kerana kemaskini yang tidak konsisten, prestasi bermasalah dan integrasi yang tidak baik. Tetapi cip baru ini, mengubah semuanya.
Spesifikasi
TicWatch Pro 3 GPS | |
---|---|
Skrin | 1.4” Retina AMOLED 454 x 454 + FSTN |
Pemproses | Snapdragom Wear 4100 |
Memori | 1GB RAM + 8GB Storan |
Sistem Operasi | Wear OS |
Perlindungan | Kalis Air & Debu IP68 Boleh Di bawa berenang |
Bateri | 595mAh |
Sensor | GPS+Beidou+Glonass+Galileo+QZSS PPG Heart Rate Sensor Accelerator Gyroscope Ambient Light Sensor Barometer |
Lain-Lain | NFC Untuk Pembayaran, WiFi |
Pengecasan | Sambungan Magnetik Pada Dermaga Khas |
Bahan Binaan | Besi tahan karat + plastik |
Ketahanan Bateri | Wear OS: Mencapai 3 hari Mod Essential: Mencapai 45 hari |
Harga | RM1320 |
Jam tangan TicWatch Pro 3 GPS ini menggunakan dwi-skrin. Skrin utama adalah AMOLED 1.4-inci dengan resolusi 454×454. Manakala skrin kedua adalah skrin LCD FTSN, di mana ia adalah seakan satu skrin jam digital klasik.
Ia dijana oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 4100, memori sebesar 1GB RAM dan storan 8GB. Bateri pula, pihak Mobvoi memuatkan 595mAh bateri yang dikatakan mampu tahan mencapai 3 hari dalam mod pintar dan sehingga 45 hari jika hanya menggunakan skrin LCD FTSN. TicWatch Pro 3 GPS turut mempunyai sokongan NFC serta perlindungan dari air dan debu dengan pensijilan tahap IP68.
Reka Bentuk
Rekabentuk jam ini boleh dikatakan menggunakan rekaan yang klise, tetapi masih kelihatan premium. Kerangka utama jam ini diperbuat daripada besi tahan karat dan turut digabungkan dengan plastik di bahagian tapak untuk keselesaan dan menjadikan ia ringan. Berat jam ini tidak begitu berat, ia selesa di tangan dan selepas penggunaan jangka masa lama – seakan tidak memakai jam langsung. Turut terbina adalah dua butang fizikal, yang memudahkan anda bertukar ke mod Essential, seru Google Assistant atau aplikasi kegemaran.
Tali jam kali ini akan saya katakan, generasi pertama lebih bagus. Ia rasa lebih premium dan menarik. TicWatch Pro 3 GPS menggunakan tali jam yang terasa premium, tetapi jelas sekali ia adalah getah atau sejenis silikon. Walaupun begitu, ia masih selesa dan terasa mewah.
Skrin
Pada bahagian skrin, warna panel AMOLEDnya sangat terang dan jelas apabila digunakan di bawah sinaran cahaya matahari yang terik. Sensor ambient turut membantu untuk mod kecerahan automatik. Skrin kedua LCD FTSN pula, hanya terang untuk kegunaan di luar – tetapi apabila di kawasan yang kurang cahaya atau gelap, skrinnya sukar untuk dilihat.
Skrin AMOLED pada jam ini tidak dinafikan antara yang terbaik. Ia bukan sahaja terang dan jelas, tetapi cantik. Ia adalah skrin yang memang menarik dan memang skrin jam yang mewah. Tetapi skrin ini terhad, kerana ia tidak begitu cerah apabila berada di bawah cahaya matahari. Ia amat malap dan tidak dapat menewaskan Apple Watch. Berbeza dengan skrin FTSN, ia hanya terang di bawah cahaya matahari sahaja. Ini menjadikan anda perlu bertukar antara mod setiap kali anda keluar.
Berbeza dengan generasi pertama, generasi kedua ini adalah jauh lebih pantas dan mod Essential ini bertukar dalam masa yang singkat. Generasi pertama ia mengambil masa yang sangat lama dan amat menjengkelkan. Animasi juga bergerak seakan slaid pembentangan. Tetapi jam yang baru ini, untuk bertukar antara mod ini – ia mengejutkan jauh lebih pantas.
Kemudian, jam tidak perlu dimatikan dan dihidupkan semula jika ingin bertukar antara mod Wear OS dan mod asas seperti versi pertama. Versi kedua ini ia seperti telefon pintar yang ingin bertukar ke mod jimat bateri, tetapi sedikit lebih perlahan.
Ciri-Ciri
Kekuatan jam ini adalah pada bateri, yang mana akan saya ceritakan kemudian. Ciri dan fungsi pada jam ini adalah sama seperti anda lihat pada mana-mana jam Wear OS. Cuma, Mobvoi ada menambah alternatif aplikasi tersendiri jika pengguna tidak gemar menggunakan aplikasi-aplikasi Google. Contohnya aplikasi senaman bernafas, aplikasi bersukan, aplikasi mengibas nadi dan banyak lagi kedua-duanya terpasang baik aplikasi Mobvoi atau aplikasi Google. Jika anda ingin memantau data secara rentas peranti, seperti jam tambat pada Pixel dan ingin pantau data pada tablet anda – gunakan sahaja aplikasi Google kerana aplikasi Google Fit boleh dipasang pada iOS dan Android dan tidak memerlukan peranti sentiasa ditambat.
Jika anda ingin penggunaan ringkas, tidak ingin memasang banyak aplikasi gunakan sahaja aplikasi Mobvoi. Jam ini turut hadir dengan aplikasi kalkulator, aplikasi mengesan pencemaran bunyi dan aplikasi membasuh tangan seperti Apple Watch turut disediakan. Tidak lupa juga, yang ia adalah Wear OS yang mana ia adalah Android – jadi kemampuan kustomasi ada banyak. Beribu muka jam boleh dipilih tidak kira daripada Mobvoi sendiri atau dari banyak aplikasi pihak ketiga lain.
Ciri lain adalah pengganti widget yang dinamakan Tiles. Ia adalah akses pantas kepada banyak aplikasi dengan antaramuka khas untuk dipaparkan di jam. Pengguna hanya perlu tatal dan lihat pelbagai pilihan Tiles seperti Google Fit, aplikasi bernafas, pemantauan tidur atau juga aplikasi cuaca. Ada banyak boleh ditetapkan dan ia adalah Tiles yang sentiasa aktif.
TicWatch Pro 3 GPS turut mempunyai pelancar tersendiri seperti Mi Watch dan Oppo Watch. Pelancar ini menyenaraikan aplikasi dalam bentuk grid berbanding memanjang dan anda perlu tatal dari bawah ke atas. Jika ada banyak aplikasi ini agak menjengkelkan. Jadi dengan paparan dalam bentuk grid, ia lebih mudah dan kemas.
Pengalaman Penggunaan
Snapdragon Wear 4100 adalah cip paling berkuasa untuk jam Wear OS. Akhirnya, jam Wear OS mempunyai prestasi yang hebat seakan Apple Watch atau Galaxy Watch. Ia pantas, tiada masalah lengah masa, tiada masalah sistem tergendala serta tiada masalah-masalah sambungan. Prestasi jam ini sangat lancar seakan anda menggunakan sebuah peranti mercu baharu.
Ini membuktikan yang cip pemproses ini semakin hebat dan pengoptimasin perisian Wear OS juga semakin matang. Dahulunya, Google seakan tidak bekerjasama dengan pengeluar jam dan Qualcomm. Apa yang Qualcomm tawarkan semuanya bergantung kepada pengeluar untuk menjadikannya realiti. Tetapi kali ini semua yang dari Google berfungsi dengan baik dan apa yang pengeluar tawarkan juga berbeza dari jam-jam Wear OS lain.
Google Assistant adalah antara masalah dalam Wear OS. Ia sangat perlahan, kerap terputus dari sambungan Internet dan kerap tidak dapat mengecam suara pengguna. Tetapi kini, tidak kira menyeru Google Assistant dengan menyebut “Okay Google” atau tekan butang fizikal beberapa saat, ia tetap akan mendengar arahan pengguna dengan baik.
Kemaskini juga pantas, yang mana adalah kekuatan dari Mobvoi. Sebaik sahaja Google umumkan fungsi dan ciri baru dan kemaskin baru untuk Wear OS – tidak sampai sebulan Mobvoi menerima kemasini. Tetapi jam seperti Oppo Watch, kemaskini sedikit lewat.
Apa yang saya tidak gemar dengan TicWatch Pro 3 GPS ini adalah atau mana-mana Wear OS – Play Store tidak mesra pengguna. Pertama ia perlahan, sukar mencari aplikasi kegemaran atau aplikasi yang dikehendaki. Masa muat turun kerap perlahan dan tidak menyokong pemasangan aplikasi serentak. Kemaskini juga kadangkala sahaja automatik dan kadangkala perlu lakukan secara manual. Lain-lain pada Wear OS sudah bagus, tetapi perkara penting untuk memuat turun aplikasi tidak begitu menarik.
Pemberian notifikasi, menjawab panggilan telefon pada jam semuanya sudha cukup baik. Pembesar suara walaupun tidka begitu kuat, yang mana jika tetapkan penggera tidak akan begitu dengar pun. Wear OS membenarkan pengguna membalas mesej dari jam, menghantar emel, melakukan banyak tugasan. Dengan jam tangan pintar seperti ini, penggunaan telefon pintar akan berkurangan seperti masa skrin aktif juga akan kurang dan akan menyumbang kepada tambahan ketahanan bateri pada peranti pengguna.
Bateri
Jam ini bebas memberikan anda pilihan mod jimat bateri. Ia ada dua mod, iaitu Always-On Display berjadual, agar mod ini tidak selalu aktif kerana jika mod ini memakan bateri banyak jika sentiasa aktif. Kedua adalah Essential Mode yang mengaktifkan skrin kedua jam ini. Memang benar, mod Essential boleh bertahan selama 45 hari. Saya tidak menafikannya. Tetapi anda perlu sentiasa menggunakan mod itu tanpa menggunakan mod Wear OS. Ini akan menjadikan penggunaan jam ini seakan anda menggunakan penjejak kesihatan seperti Mi Band.
Mod Essential ini menawarkan fungsi menjejak tapak dan nadi sambil memaparkan masa. Ia juga mempunyai lampu bagi membantu anda melihat jam ini di suasana yang tidak cukup terang.
Untuk mod biasa, mod Wear OS yang pintar dan yang banyak fungsi – ketahanan bateri dalam penggunaan saya adalah dua hingga tiga hari ketahanan. Ini adalah satu perkara yang menarik dan mengejutkan. Kesemua jam tangan pintar yang saya cuba tahun ini, semuanya mempunyai bateri satu hari atau satu hari setengah – seperti Apple Watch atau Galaxy Watch. Tiada jam tangan pintar sebenar yang lain yang pernah saya pakai mempunyai ketahanan bateri sehebat ini.
Sudah tentu, ia tidak boleh dibandingkan dengan jam tangan pintar asas yang mampu bertahan lima hari seperti Amazfit GTR 2. Tetapi untuk jam tangan pintar sebenar, ini adalah ketahanan yang sangat baik. Pengecasan walaupun sedikit perlahan, ia agak mudah – kerana menggunakan pengecasan bermagnet tersendiri. Ini adalah satu kekurangan yang ada pada jam tangan pintar Wear OS – tiada sistem pengecasan nirwayar seakan Apple Watch atau Galaxy Watch.
Kesimpulan
TicWatch Pro 3 GPS adalah jam tangan pintar Wear OS terbaik yang pernah saya gunakan. Ia sangat pantas, ia sangat lancar dan mempunyai ketahanan bateri yang sangat baik. Hampir kesemua fungsi dan ciri boleh digunakan oleh pengguna di Malaysia, tidak seperti Apple Watch yanhg mana fungsi ECG dan Fitness+ terhad di negara lain. Perkara yang tidak boleh digunakan di malaysia pada jam ini hanyalah Google Pay.
Kemudian yang paling mengecewakan adalah, getarn yang sangat lemah. Sistem getaran pada jam ini adalah seakan telefon pintar kelas permulaan dan tidak enak. Ia tidak selesa, rasa geli dan membuatkan saya jika terima notifikasi ingin tanggalkan jam ini terus. Lain-lain, TicWatch Pro 3 GPS adalah jam terbaik Wear OS yang mana pengeluar jam tangan Wear OS lain patut contohi Mobvoi.
Pro
- Sistem operasi Wear OS yang terkini.
- Dwi-skrin yang unik.
- Jangka hayat bateri yang menakjubkan.
- Rekaan yang premium.
- Tali jam hibrid yang selesa.
- Snapdragon Wear 4100
Kontra
- Pengecas dermaga khusus masih digunakan.
- Masih mengambil masa pertukaran skrin AMOLED ke LCD FTSN.
- Bahan binaan tidak negitu premium berbanding generasi pertama.
- Sistem getaran yang sangat lemah.
Akhirnya, siri TicWatch boleh dibeli di Malaysia. Mobvoi kini mempunyai kedai rasmi di Shopee, yang menjual TicWatch Pro 3 GPS pada harga hanya RM1320. Semasa generasi pertama, jam in hanya boleh dibeli dari laman web rasmi dan mempunyai kos penghantaran yang mahal serta caj cukai. Harga juga mencapai RM1499 sehingga RM1599.
Walaupun anda masih boleh beli jam ini dari laman web rasmi, yang dihantar dari Hong Kong – anda tidak boleh menuntut jaminan dari Mobvoi Malaysia. Hanya unit yang dibeli dengan mereka sahaja boleh dituntun di sini. Warna juga hanya ada satu pilihan sahaja, iaitu hitam. Jika anda inginkan jam Wear OS agar mempunhyai pengalaman penggunaan menarik dalam ekosistem Android atau Google – ini adalah jam anda. Pasti anda tidak akan menyesal, kerana tiada jam Wear OS lkain yang sebaik jam ini.