Rekaan Honor V40 Tertiris Dengan Bonggol Kamera Bulat Seperti Mate 40

Diterbitkan pada Dis 22, 2020. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Honor V40 akan menjadi siri peranti mercu terbaru jenama ini yang seterusnya. Mengikut spekulasi awal, ia dikatakan mungkin tidak dijana dengan cip Kirin. Seterusnya, ia juga dijadualkan muncul sekitar Januari tahun hadapan. Selain, turut telah melepasi laman pensijilan 3C dengan sokongan pengecasan pantas 65W.

Dalam perkembangan terkini, reka bentuknya telah tertiris ke arena web dan ia memperlihatkan rekaan modul kamera utama yang mirip seakan Huawei Mate40. Imej dikongsi memperlihatkan Honor V40 mempunyai modul kamera utama membulat dengan sokongan kuad-kamera utama. Apa yang membuatkannya nampak menarik di sini, gaya kemasan pada keliling modul kamera ini diilhamkan oleh jam tangan. Perasan atau tidak, rekaan ini langsung tidak sama dengan gambaran yang tertiris sebelum ini.

Seperti yang dapat dilihat juga, panel hadapan hadir dengan paparan berlubang bersama sokongan dwi-kamera swafoto. Lubang kamera ini dikatakan 20% lebih kecil berbanding pendahulunya. Seterusnya, imej dikongsi turut memperlihatkan Honor V40 bakal menggunakan rekaan skrin melengkung 88 darjah mirip seperti Huawei Mate 40 Pro.

Tiada maklumat berkaitan spesifikasi yang dikongsi. Tetapi, laporan mendakwa Honor V40 mungkin dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 1000+ dan mempunyai paparan dengan resolusi FHD+ pada saiz skrin sebesar 6.7-inci. Ia juga dipercayai menggunakan sensor utama 40-Megapixel. Selain, hadir dengan pengecasan nirwayar 40W. Tapi seperti biasa, spesifikasi tertiris masih belum diketahui kesahihannya. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat ini masih di peringkat ura-ura.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami