Huawei Smart Screen S Dan Smart Screen S Pro Turut Dilancarkan – 120Hz, Harmony OS Dan 4 Pembesar Suara

Huawei Smart Screen S Dan Smart Screen S Pro Turut Dilancarkan – 120Hz, Harmony OS Dan 4 Pembesar Suara

Diterbitkan pada Dis 22, 2020 oleh .

Huawei juga seperti Google dan Amazon, mempunyai paparan pintar tersendiri. Ia menyokong pembantu digital, boleh mengawal peranti berhubung lain, boleh memainkan video, muzik atau juga membuat panggilan video. Tetapi apa yang membezakan Huawei dengan yang lain adalah, paparan pintar Huawei bersaiz seakan sebuah televisyen. Malah, ia juga boleh berfungsi sebagai televisyen atau paparan biasa.

Sehingga hari ini, sudah ada banyak produk dalam kategori ini dan Huawei baru-baru ini telah melancarkan dua lagi paparan pintar baharu iaitu, Huawei Smart Screen S dan Smart Screen S Pro.

Ia hadir dengan kamera pop-naik, resolusi adalah 1920 x 1080, paparan skrin adalah  55-inci, 65-inci, dan 75-inci. Ia boleh memaparkan kandungan peranti, membuat panggilan video dan melakukan hampir banyak perkara yang boleh dilakukan pada telefon di paparan pintar ini. Paparan pintar ini turut mempunyai fungsi pemantauan kanak-kanak dan orang-orang tua. Kamera pada paparan pintar ini turut berfungsi sebagai kamera litar tertutup yang boleh dikawal pada telefon pintar.

Skrin hadir dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, gamut warna lebar 92%, perlindungan TUV Rheinland, serta tidak akan ada masalah berkelip. Untuk audio, terdapat empat 10W pembesar suara dimuatkan dengan kuasa kecerdasan buatan – di mana jika menonton filem suara pelakon boleh dikuatkan agar dialog didengari dengan jelas. Sistem audio juga adalah jenis surround. Huawei turut mempunyai sistem yang mana boleh mengubah tetapan audio dan paparan menjadi sesuai mengikut suasana dalam bilik.

Huawei Smart Screen S dan Smart Screen S Pro turut memfokuskan kepada permainan video seperti melalui penstriman atau bermain permua tetapi dengan pengalaman lebih imersif. Telefon milik pengguna turut boleh dijadikan sebagai alat kawalan. Bagi mereka yang suka menyanyi, paparan pintar Huawei ini turut menyokong sistem karaoke dengan teknologi pemberian markah, merakam suara, mod mengajar, dan banyak lagi.

Beza kedua-dua Huawei Smart Screen S dan Smart Screen Pro adalah, versi Pro boleh melakukan panggilan video dan panggilan video berkumpulan. Manakala versi biasa hanya sebagai kamera litar tertutup. Kemudian hanya Huawei Smart Screen S 55-inci sahaja terhad kepada 60Hz, model lain semuanya 120Hz.

Harga jualan adalah RMB3299 (~RM2041) untuk Huawei Smart Screen S 55-inci, Huawei Smart Screen S 65-inci dijual pada harga RMB4999 (~RM3093), Huawei Smart Screen S 75-inci adalah RMB6999 (~RM4330), Huawei Smart Screen S Pro 65-inci pula pada harga RMB5699 (~RM3526), Huawei Smart Screen S Pro 75-inci pula pada harga RMB7999 (~RM4949). Jualan bermula dari Disember 2021 dan boleh mencapai sehingga Mac 2021.



Paling Popular