Cari @ Amanz

Beberapa bulan yang lalu kami mengulas televisyen pintar Samsung Q950TS yang dijual pada harga RM29,999. Ramai yang mengatakan mengapa Amanz mengulas sebuah TV kelas borjuis yang amat sukar dimiliki oleh orang kebanyakan. Kami menyedari masalah ini kerana kami sendiri tidak mampu untuk membeli televisyen mewah yang terbaik di dalam kelasnya.

Maka kami memulakan pencarian untuk mengulas televisyen yang harganya tidak memerlukan ginjal dilelong di pasaran gelap sebelum boleh dibeli. Apakah yang berlaku apabila anda bergerak dari sebuah televisyen QLED kelas bangsawan ke televisyen LED kelas permulaan? Adakah perbezaannya amat ketara ataupun Realme Smart TV berbaloi untuk dimiliki pada tahun 2020?

Spesifikasi Dan Rekaan

Kita mula dengan rekaan. Dua model Realme Smart TV dipasarkan di Malaysia masing-masing dengan skrin LED 43″ dan 32″. Perbezaan hanyalah terletak pada saiz dan juga sokongan resolusi. Versi 43″ boleh memaparkan kandungan 1080P manakala versi 32″ sekadar resolusi HD sahaja. Adalah agak aneh pada tahun 2020 panel HD masih lagi digunapakai sedangkan kami merasakan skrin FHD sendiri sudah mula digantikan dengan panel 4K. Penggunaan panel LED yang sudah agak berusia ini adalah penyebab mengapa Realme Smart TV mampu dipasarkan pada harga yang tidak menyebabkan dompet anda rabak.

Skrin yang kami kategorikan sebagai bersaiz kecil ini mempunyai rekaan panel yang agak tebal sekiranya dibandingkan dengan skrin televisyen pintar lain di pasaran. Sekali lagi rekaan yang sudah agak berusia dipadankan dengan panel yang juga sudah agak berusia. Namun begitu bezel yang agak besar ini tidak langsung mengganggu penonton ketika menikmati kandungan kerana berwarna hitam. Di makmal Amanz kami sebenarnya tidak menyedari langsung kekebalannya kerana lebih menumpukan perhatian kepada skrin.

Fungsi pintar pada TV menggunakan sistem operasi Android TV 9. Ini bukanlah versi paling terkini tetapi setanding dengan pada model Android TV lain di pasaran. Jadi dari segi perisian ia tidak begitu ketinggalan. Pemproses Mediatek empat teras dengan Cortex A53, GPU Mali Mali-470 MP3, 1GB RAM dan storan 8GB melengkapi spesifikasi televisyen pintar ini. Dari segi audio pula empat pembesar suara 24W yang menembak ke bawah disertakan lengkap dengan sokongan Dolby Audio.

Walaupun ia sebuah televisyen kelas permulaan, menarik sekali ia tudur hadir dengan sokongan HDR 10 dan juga HLG. Malang sekali pihak Realme tidak pula menyenaraikan apakah piawaian HDR mana yang dilepasi tetapi sekadar mengatakan ia sistem Chroma Boost mampu memberikan keterangan maksimum sehingga 400 nits.

Pilihan sambungan adalah agak baik. Tiga port HDMI dipadankan dengan dua USB-A 2.0, bicu audio 3.5mm, output SPDIF, input antena dan port untuk LAN. Jika sambungan Internet nirwayar diperlukan, televisyen pintar menyokong WiFi 2.4 GHz sahaja. Sekali lagi untuk mengurangkan kos sokongan WiFi 5 (apatah lagi WiFi 6) tidak disertakan. Pada awalnya kami melihat ini sebagai kekurangan tetapi apabila menyedari TV hanya menyokong resolusi FHD sahaja, sokongan Internet paling pantas mungkin hanya overkill.

Salah satu HDMI menyokong CEC dan ARC, satu lagi menyokong hanya CEC dan satu lagi tiada sokongan kedua-duanya. Dengan CEC, televisyen dapat mengesan sambungan kepada peranti output lain dengan lebih pintar. Misalnya TV akan dihidupkan secara automatik apabila konsol PS4 diaktifkan menerusi Dual Shock 4. Anda tidak perlu mencari alat kawalan jauh untuk menghidupkan TV terlebih dahulu.

Satu kekurangan yang kami sedari ialah Realme Smart TV tidak dilengkapi dekoder DTTV untuk menonton siaran televisyen digital. Sekali lagi mungkin kerana ingin mengurangkan harga jualan. Sebagai peringatan kotak DTTV kini perlu untuk menikmati siaran televisyen di Malaysia kerana siaran analog telahpun dihentikan tahun lalu.

Meneruskan tema retro, rekaan Realme Smart TV juga kami rasakan adalah lebih selari dengan rekaan 6 tahun lalu. Panel plastik pada bingkai dipadankan dengan dua kaki plastik dan panel belakang yang juga plastik. Plastik memanglah tidak fantastik tetapi sekurang-kurangnya versi 43″ adalah ringan dengan berat sekitar 6.8 kilogram dan 3.7 kilogram untuk versi 32″.

Penggunaan

Dengan Android TV, pelbagai aplikasi boleh dimuat turun. Secara terpasang platform penstriman utama seperti YouTube, Netflix, dan Prime Video boleh diakses. Ekosistem Android TV adalah matang tanpa perlu risau tiadanya aplikasi yang ingin anda gunakan. Kelebihan utama Android TV ialah ikonografi dan penggunaan yang amat mirip dengan antaramuka Android. Masa mempelajari menggunakan Realme Smart TV adalah amat pantas lebih-lebih lagi jika anda memang seorang pengguna telefon pintar Android.

Pelbagai saranan kandungan untuk distrim akan dipaparkan pada muka hadapan Android TV sejurus selepas TV dipasang. Proses log masuk juga mudah terutamanya jika anda sudahpun mempunyai telefon pintar. Dengan sokongan Google Assistant pula, anda boleh juga melancarkan aplikasi yang telah dipasang dengan arahan suara. Dengan Assistant, TV mempunyai ciri seakan skrin pintar Android seperti membaca berita, memberitahu ramalan cuaca dan agenda harian yang disimpan pada peranti.

Tekan sahaja ikon Assistant pada alat kawalan. Oh bercakap mengenai alat kawalan, pujian diberikan kerana terdapat butang khusus untuk pelbagai platform penstriman utama. Binaan alat kawalan jauh memang plastik dan terasa murah tetapi butang yang disertakan adalah lembut.

Proses navigasi dan mengubah kelantangan audio boleh dilakukan dengan selesa. Alat kawalan jauh ini memerlukan sepasang bateri AAA untuk berfungsi. Kerana tempoh ulasan yang pendek kami tidak boleh mengatakan berapa lama ia boleh berfungsi sebelum perlu diganti.

Kerana Realme Smart TV sekadar dilengkapi pemproses empat teras yang sudah berusia dan 1GB RAM sahaja, kami merasakan pengalaman penggunaan adalah tidak sepantas televisyen pintar Tizen yang kami miliki. Aplikasi memerlukan masa beberapa saat sebelum dilancarkan. Proses menukar aplikasi pula tidak konsisten. Kadang kala ia berlaku sekelip mata dan kadang kala memerlukan masa sehingga empat saat. Ia mungkin akan menguji kesabaran pengguna yang sudah biasa dengan televisyen pintar yang lebih pantas.

Satu lagi isu yang ingin kami ketengahkan ialah terdapat sela masa apabila menyeru Assistant apabila sedang menggunakan aplikasi lain. Sebagai contoh ia mengambil masa sehingga lima saat untuk Assistant dipaparkan pada bawah skrin apabila diseru ketika menonton Netlifx. Kemudian ia mengambil masa beberapa saat lagi sebelum bunyi dibisukan bagi membolehkan arahan diberikan tanpa gangguan.

Prestasi televisyen ini sudah dapat kami jangkakan kerana ia hanyalah sebuah telefon pintar kelas asas yang dilengkapi skrin lebih besar dan tanpa sokongan selular. Untuk mengharap peranti pemproses empat teras untuk berfungsi selancar telefon pintar kelas pertengahan atau televisyen pintar yang lebih mahal kami rasakan adalah tidak begitu realistik.

Malahan prestasinya kami rasakan sama sahaja dengan Mi Box yang dilancarkan tiga tahun lalu. Kami tidak sempat pula untuk menguji permua pada Realme Smart TV kerana tidak mempunyai alat kawalan bluetooth untuk ditambat. Pada waktu ini hanya dongel Chromecast With Google TV yang baru dilancarkan tahun ini menawarkan pengalaman Android TV terbaik di pasaran mengalahkan pelbagai televisyen pintar Android TV lain. Masalahnya ialah ia belum ditawarkan secara rasmi dan perlu dibeli dari pihak ketiga.

Kualiti Visual

Panel LED yang digunakan seperti kami katakan di awal ulasan ialah teknologi yang telah mula digantikan dengan OLED, QLED dan mini LED. Ada sebab mengapa pengeluar televisyen berpindah ke teknologi lebih terkini. Pada penggunaan biasa paparan visual pada skrin Realme Smart TV adalah sederhana sahaja. Skrin dapat dilihat dengan jelas di dalam situasi bilik yang gelap. Tetapi apabila di dalam situasi lebih terang, kualiti visual yang ditonton mula terjejas.

Pada penggunaan biasa kualiti visual adalah memuaskan. Gambar terang dan warna yang menyerlah. Panel menyokong kadar segar semula sehingga 60Hz dan visual memang kelihatan lancar. Isu yang disedari hanyalah gambar yang agak lembut pada skrin 32″. Resolusi HD pada skrin 32″ tidak mencukupi untuk menutup kekurangan yang ada. Walaupun pada jarak sekitar lapan kaki, kualiti visual TV tidak melepasi piawaian kami. Pada versi 42″ dengan resolusi FHD, isu ini berjaya dikurangkan tetapi tidak diselesaikan.

Harus kami katakan bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini kami sudahpun memiliki sebuah TV OLED 4K 50″ di rumah. Di pejabat pula skrin QHD digunakan pada komputer kerja. Oleh itu dari sudut pandangan mata kami, visual 1080P tidak lagi kelihatan cantik. Kesemua kekurangan resolusi generasi lama ini dapat dilihat oleh mata kami yang sudah biasa dengan skrin kelas bangsawan.

Tambah malang bagi Realme kami juga sudah mengulas TV 8K QLED tahun ini. Maka standard piawaian “visual yang memuaskan” di Amanz adalah lebih tinggi dari apa yang mampu digapai oleh Realme Smart TV. Dari pandangan seorang pengguna yang sudah terbiasa dengan panel resolusi tinggi, panel Realme Smart TV jelas menunjukkan usianya.

Secara lalai mod Standard akan dipilih. Ini memberikan imbangan visual yang terbaik. Terdapat mod Vivid yang menerangkan lagi warna untuk kelihatan lebih menyerlah. Mod Game, Sports dan Energy Saving juga diberikan tetapi kami ikhlas tidak dapat melihat perbezaan yang ketara antara mod-mod visual lain ini.

Seterusnya ialah mod HDR yang diuar-uarkan. Sekali lagi dari sudut pandangan insan yang memiliki peranti dengan panel lebih terang dengan resolusi lebih tinggi, tiada perbezaan yang ketara dapat kami lihat dengan mod tanpa HDR. Terdapat pandangan yang mengatakan 400 nits tidak boleh dikategorikan sebagai HDR sebenar. Ini adalah sebab mengapa VESA yang memberikan piawaian HDR 400 menerima kritikan dari peminat visual.

Tetapi isu yang paling besar pada panel Realme Smart TV ialah ghosting. Apabila menonton video yang mempunyai aksi pantas, kualiti visual terjejas teruk. Ketajaman hilang sehingga objek kelihatan kabur. Ini membuatkan kami tidak menyarankan anda menggunakan televisyen ini sebagai monitor untuk konsol. Kami menguji COD Black Ops untuk PS5 pada Realme Smart TV dan kerana ghosting yang ketara, sukar melihat apa yang berlaku pada skrin. Adalah mustahil untuk melihat apa yang perlu ditembak jika objek yang ditembak tidak jelas.

Isu yang sama muncul lagi ketika menonton babak aksi filem Six Undergound yang distrim menerusi Netflix. Kerana kualiti visual yang menjunam ketika aksi menjadi rancak, ia membuatkan pening kepala selepas menonton selama lima minit. Pendek kata Realme Smart TV bukan pilihan bijak untuk disambungkan kepada konsol permainan video.

Audio

Visual mungkin sedikit mengecewakan tetapi maruah Realme Smart TV diselamatkan oleh sistem audio yang lantang. Audio jelas walaupun pada tetapan agak tinggi. Kami tidak meletakkan audio pada tetapan tertinggi semasa mengulas kerana pada tetapan 50% sekalipun ia sudah cukup lantang.

Empat pembesar suara 24W yang disertakan tidak mengecewakan bagi kami walaupun menghala ke bawah. Untuk menikmati audio terbaik, pastikan televisyen diletakkan pada permukaan meja yang keras untuk lantunan audio yang terbaik.

Selalu audio diabaikan pada televisyen kelas permulaan tetapi pada televisyen ini ia antara ciri yang membuatkan kekecewaan kami pada prestasi visual terubat.

Kesimpulan

Adakah berbaloi untuk membeli Realme Smart TV hari ini? Jawapan adalah bergantung kepada dua perkara. Pertama ialah sama ada memang mencari televisyen pintar Android TV kelas permulaan sebagai skrin sekunder di rumah. Kami tidak mahu anak di rumah menghabiskan masa menonton Peppa Pig dan Upin & Ipin di TV 4K sehingga mengganggu sesi tontonan kami. Maka Realme Smart TV ialah pilihan yang baik untuk kegunaan anak-anak.

Keduanya pula ialah untuk golongan yang tidak pernah memiliki televisyen dan mahu mencari model yang tidak merobekkan poket. Kerana tidak pernah menggunakan televisyen dalam kelas yang lebih tinggi, kekurangan pada Realme Smart TV kemungkinan besar tidak akan disedari atau diambil peduli.

Kami melihat apa yang dilakukan oleh Realme dengan televisyen pintar ini sama seperti yang dilakukan menerusi Realme C15. Peranti kelas asas untuk golongan yang mencari peranti asas yang mempunyai ciri asas yang juga memuaskan. Oleh itu ia dihasilkan khusus bagi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan televisyen pintar dan kegunaan kanak-kanak.

Pro

  • Binaan yang tegap walaupun hampir kesemuanya diperbuat daripada plastik.
  • Pelbagai aplikasi popular boleh dimuat turun dengan mudah kerana menggunakan Android TV. Antaramuka juga mudah difahami.
  • Speaker yang amat lantang dan jelas.
  • Pilihan I/O yang baik lengkap dengan sokongan HDMI CEC.
  • Alat kawalan jauh yang mempunyai banyak butang pintasan aplikasi penstriman popular.
  • Sokongan Google Assistant.

Kontra

  • Skrin mempunyai masalah ghosting yang ketara.
  • Mod HDR tidak memberikan perbezaan yang ketara.
  • Prestasi tidak begitu lancar kerana pemproses yang sudah berusia.
  • Rekan yang sedikit retro tidak selari dengan trend televisyen pintar semasa.
  • Perlu keluar dari aplikasi untuk mengubah tetapan gambar.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd