Cari @ Amanz

Realme sedia hadir dengan penawaran Realme Watch S sebelum ini – ia merupakan peranti boleh pakai mereka yang kedua selepas Realme Watch. Kini, mereka dilihat memperluaskan lagi penawaran peranti boleh pakai mereka dengan memperkenalkan Realme Watch S Pro pula.

Dari segi rekaan, ia dilihat meminjam sepenuhnya daripada Realme Watch S sebelum ini, namun dilengkapi spesifikasi dalaman yang berbeza. Untuk spesifikasi, Realme Watch S Pro dilengkapi skrin bersaiz 1.39-inci AMOLED (454 X 454) bersama 100 pilihan muka jam berbeza.

Ia turut mempunyai perlindungan kalis air 50 meter, dilengkapi 15 mod sukan berbeza dan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan seperti pengesanan ketepuan oksigen dalam darah, kadar denyutan jantung serta banyak lagi. Berbeza dengan Realme Watch S, versi Pro hadir dengan tambahan mod berenang khusus yang membolehkan ia dibawa mandi dan berenang.

Spesifikasi lain termasuk – bateri 420mAh dengan ketahanan sehingga 14 hari, pilihan tali jam lebih pelbagai, GPS, kawalan untuk muzik serta kamera, pemberitahuan panggilan serta mesej dan banyak lagi. Realme Watch S Pro dijual pada harga INR9,999 (~RM551) seutas.

Sekadar selingan, bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Realme Watch S. Jam tangan pintar ini telah ditawarkan di Malaysia pada harga RM369 seutas dan anda boleh mendapatkannya menerusi sejumlah platform berbeza termasuk Shopee dan Lazada.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd