ZTE sudah lama senyap di Malaysia. Jenama ini tidak lagi gah seperti beberapa tahun lepas. ZTE juga sudah tidak lagi memfokuskan kepada peranti mercu untuk siri Axon mereka. Contohnya, ZTE Axon 20 5G hanyalah sebuah peranti kelas pertengahan premium.

Walaupun begitu, ZTE kini memfokuskan kepada inovasi. ZTE Axon 20 5G adalah peranti pertama dunia yang dijual secara komersil yang menggunakan sistem kamera swafoto di bawah skrin. Oppo dan Xiaomi sudah lama mengacah peranti sebegini, tetapi ZTE yang menjadikannya realiti terlebih dahulu. Peranti ini baru sahaja dilancarkan secara global, yang mana Malaysia adalah salah satu negara bertuah.
ZTE Malaysia baru-baru ini telah mengacah yang peminat di Malaysia boleh membeli peranti ini tidak lama lagi. Tetapi, bagi yang ingin membeli peranti ini – anda hanya boleh membelinya melalui jemputan. ZTE telah memperkenalkan satu kelab, iaitu “New Vision Club” dan hanya mereka yang mendaftar masuk dan menerima jemputan sahaja layak membeli.

Ini mungkin langkah awal sahaja, jika banyak permintaan – mungkin kita akan mendengari lanjut mengenai peranti ini dijual secara lebih meluas. Kali terakhir sebuah peranti dijual secara jemputan adalah OnePlus One.
ZTE Axon 20 5G adalah sebuah peranti Snapdragon 765G, skrin OLED 90Hz 6.92-inci, memori 6/8 GB RAM dan pilihan storan 128GB atau 256GB. Kamera utama adalah 64+8+2+2 Megapixel dan kamera swafoto bawah skrin adalah 32MP. Bateri pula 4220mAh dengan pengecasan pantas 30. Harga jualan di Amerika Syarikat adalah $449 untuk 8/128 GB, iaitu sekitar RM1825. Harapnya di Malaysia akan dijual pada harga yang lebih murah, kerana di China peranti ini hanya sekitar RM1739 untuk variasi 8/256 GB.