Hisense A7 5G Adalah Telefon Pintar Dengan Skrin E-Ink Dan Sokongan 5G Pertama Dunia

Hisense A7 5G Adalah Telefon Pintar Dengan Skrin E-Ink Dan Sokongan 5G Pertama Dunia

Diterbitkan pada Dis 23, 2020 oleh .

Hisense adalah satu jenama yang agak terkenal. Di Malaysia, ia terkenal dengan pelbagai jenis televisyen yang mampu milik. Di China, Hisense mempunyai banyak peranti termasuk telefon pintar. Terkini, mereka telah melancarkan Hisense A7 5G.

Apa yang menjadikan peranti Hisense A7 5G ini unik adalah, ia merupakan telefon pintar dengan skrin E-Ink. Panel skrin bersaiz 6.7-inci, warna monokrom dengan PPI 300. Peranti ini dijana dengan cip UNISOC Tiger T7510 dan dipadankan dengan memori 6GB RAM serta 128GB storan dalaman. Peranti ini turut menyokong audio DAC melalui port bicu audio 3.5mm yang dikuasakan dengan cip AK4377AECB. Hisense sudah banyak kali hadir dengan telefon pintar sebegini, tetapi ini adalah pertama dengan sokongan 5G.

Di belakang peranti mempunyai satu kamera dengan lampu LED flash. Kamera adalah kamera yang asas sahaja, memandangkan ia adalah skrin monokrom – jadi kamera tidak perlu yang hebat-hebat pun.

Untuk butang, di kanan ia mempunyai butang kuasa dan butang aras suara. Di kiri pula ada butang tambahan untuk melancarkan aplikasi kegemaran. Peranti ini turut menyokong nyahkunci berasaskan wajah, panel skrin yang mempunyai kadar segar 688ms, 364ms, 175ms serta 136ms mengikut kandungan yang dibuka, menjalankan Android 10 yang diubahsuai khusus untuk peranti dengan skrin E-Ink. Ia juga memuatkan bateri 4770mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W.

Harga jualan adalah RMB1,999 iaitu sekitar RM1243 sahaja.


Paling Popular