Selain berkongsi mengenai keupayaan kamera pada Xiaomi Mi 10T Pro 5G. DxoMark turut mengemaskini laporan di laman web rasmi mereka dengan prestasi untuk Xiaomi Mi 10T 5G. Sedia maklum, Xiaomi Mi 10T 5G dibekalkan tri-kamera dengan sensor utama 64-Megapixel. Persoalan mengenai prestasi, kini terjawab apabila ia sekadar meraih sebanyak 98 mata sahaja dalam ujian DxoMark.

Secara puratanya, Mi 10T 5G mencatatkan pecahan 97 mata untuk kemampuan fotografi, 49 mata untuk kemampuan zum dan 95 mata pula untuk kemampuan video. Mi 10T 5G merupakan peranti mercu untuk tahun 2020. Tetapi, kutipan mata keseluruhannya di sini dilihat sekadar setanding dengan OnePlus 6T yang dilancarkan dua tahun lalu. Bahkan, turut dilihat berada setapak di belakang Google Pixel 2 yang sekadar menyokong lensa utama tunggal 12.2-Megapixel.

Pujian diberikan kepada sistem imbangan putih yang konsisten, selain penghasilan warna yang baik dalam video bersama penstabilan yang efisien. Kritikan pula diberikan kepada julat dinamik yang terhad dalam kebanyakan situasi (foto dan video), masalah hingar tidak terkawal, sistem autofokus tidak stabil dan perincian kurang memuaskan untuk hasil gambar zum.
Sekadar selingan, bagi anda yang berminat untuk membeli mana-mana model di bawah siri Xiaomi Mi 10T. Anda boleh berbuat demikian dengan mendapatkannya menerusi sejumlah platform berbeza termasuk Shopee dan Lazada. Untuk harga, Xiaomi Mi 10T dijual pada harga RM1,699. Sementara, Xiaomi Mi 10T Pro pula berharga RM1,999.