Telegram hari ini mengumumkan beberapa ciri baru, serta berkongsi mengatakan kini mempunyai 500 juta pengguna aktif di seluruh dunia. Selari dengannya, pengasas Telegram mengatakan mereka mempunyai perbelanjaan yang tinggi selari dengan peningkatan pengguna – termasuk dari kos trafik dan juga pelayan.
Disebabkan olehnya, Telegram kini melihat kepada beberapa kaedah dalam menjana pendapatan bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan berkenaan.
Untuk perkara berkenaan, menurut pengasasnya, salah satu perkara yang dilihat adalah pengenalan platform pengiklanan mereka tersendiri.
Pengiklanan dijangka akan dipaparkan pada saluran di Telegram. Platform iklan ini diperkatakan akan mesra pengguna, dan mengambil kira privasi serta sebagainya. Paparan iklan hanya memfokuskan pada dalam saluran sahaja, dan bukannya pada permesejan biasa atau permesejan berkumpulan.
Disamping itu, Telegram juga turut melihat untuk memperkenalkan ciri Premium Stickers – dimana membolehkan artis menjana pendapatan, selain pihak Telegram turut mengambil sebahagian pendapatannya.
Telegram turut mengatakan mereka akan menambah beberapa ciri-ciri memfokuskan perniagaan yang akan ditawarkan secara berbayar.
Perubahan ini dijangka dilakukan oleh pihak Telegram secara berperingkat pada tahun 2021 kelak.