Cari @ Amanz

Selain daripada membuat peranti pintar, Huawei juga dikenalik untuk siri komputer riba mampu milik mereka, khususnya siri Huawei MateBook D yang terdiri daripada Huawei MateBook D14 dan Huawei MateBook D 15.

Terkini, Huawei nampaknya telah mengumumkan bahawa mereka akan mula mengemaskini siri komputer riba tersebut dengan komponen CPU terbaru daripada Intel, iaitu siri CPU Intel Tiger Lake.

Dari segi rekaan, tidak banyak yang berbeza diantara model sebelum ini dan juga model yang akan datang ini. Model MateBook D14 hadir dengan paparan bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD, manakala MateBook D15 pula hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi yang sama.

Kedua-dua paparan komputer riba ini juga hadir dengan sokongan untuk gamut warna sRGB sebanyak 100 peratus, yang cukup berguna untuk mereka yang ingin menggunakan komputer riba ini untuk tujuan kerja kreatif, ataupun sebagai medium untuk menonton video-video dalam kualiti yang tinggi.

Beralih ke komponen dalaman, siri MateBook D yang dikemaskini ini akan hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5-1135G7 ataupun Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD sebesar 512GB.

Dari segi pilihan GPU pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe yang terbina, ataupun model dengan cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce MX450.

Selain daripada sokongan WiFi6 dan juga Thunderbolt 4 yang sudahpun sedia maklum terbina dengan CPU Intel Tiger Lake, siri komputer riba ini juga hadir dengan ciri Huawei Share yang membolehkan pengguna berkongsi skrin peranti pintar mereka terus kepada komputer riba ini, dimana ia boleh membuka tiga aplikasi berbeza sekaligus.

Konfigurasi yang akan ditawarkan untuk pasaran China adalah seperti berikut:

Huawei MateBook D14

  • Intel Core i5-1135G7/512GB SSD/16GB RAM/Iris Xe Graphics – 4,999 Yuan (~RM3100)
  • Intel Core i7-1165G7/512GB SSD/16GB RAM/NVIDIA GeForce MX450 – 6,399 Yuan (~RM3980)

Huawei MateBook D15

  • Intel Core i5-1135G7/512GB SSD/16GB RAM/Iris Xe Graphics – 4,999 Yuan (~RM3100)
  • Intel Core i5-1135G7/512GB SSD/16GB RAM/NVIDIA GeForce MX450 GPU – 4,999 Yuan (~RM3100)
  • Intel Core i7-1165G7/512GB SSD/16GB RAM/Nvidia MX450 GPU – 6,399 Yuan (~RM3980)

Pra-tempahan untuk Huawei MateBook D dengan komponen terbaru ini telah mula dibuka di China. Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah ia akan hadir untuk pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd