Peranti Huawei Tanpa GMS – Boleh Ke Guna?

Peranti Huawei Tanpa GMS – Boleh Ke Guna?

Diterbitkan pada Dis 29, 2020 oleh .

Pada tahun 2019, Huawei terlibat dengan isu perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Disebabkan itu, peranti mereka tidak lagi boleh menggunakan Google Mobile Services atau GMS. GMS adalah aplikasi sistem untuk peranti Android agar boleh menggunakan perkhidmatan Google seperti Play Store, YouTube, GMail, Google Maps dan banyak lagi. Disebabkan hal ini, Huawei hadir dengan HMS sebagai alternatif iaitu Huawei Mobile Services.

Huawei kini sudah jauh ke hadapan dengan HMS. HMS sudah dikira lengkap dan Huawei turut mempunyai pengganti Android, iaitu Harmony OS. Dalam artikel ini saya akan berkongsi pengalaman penggunaan peranti Huawei dengan HMS sepenuhnya tanpa bergantung kepada GMS. Adakah ia sudah bersedia untuk orang ramai? Adakah ia cukup stabil? Jika ya, kenapa masih ramai yang tidak ingin menggunakan HMS?

HMS sudah lengkap. Saya berani katakan begitu kerana apa yang Google ada, Huawei sudah ada alternatif. Hanya pengguna sahaja yang takut untuk beralih. Tidakkah anda terfikir yang pada suatu masa dahulu, di Malaysia sebelum peranti Android popular – Android juga terhad. Sistem arahan selok-belok Google Maps masih beta, tiada Google Assistant, banyak aplikasi tidak ada di platform ini dan orang ramai lebih selesa menggunakan peranti biasa seperti Blackberry, iPhone, Nokia dan lain-lain kerana mempunyai ekosistem tersendiri.

Hanya selepas Android menjadi popular, banyak sokongan aplikasi serta banyak jenama menawarkan peranti Android barulah Blackberry dan Nokia beralih ke Android. Berikut adalah antara aplikasi-aplikasi HMS yang Huawei tawarkan sebagai alternatif kepada Google atau yang boleh dicari di Play Store.

Huawei AppGalleryPlay Store
Huawei BrowserChrome
Huawei CloudGoogle Drive/Google Photos
Huawei ThemesTerbina dalam Android 11
Huawei MusicYouTube Music
Huawei VideoYouTube/Netflix
Huawei ReaderPDF Viewer
CeliaGoogle Assistant
Petal SearchGoogle Search
Petal MapsGoogle Maps
Huawei PayGoogle Pay
Huawei BooksGoogle Books
Huawei DocsGoogle Docs

Ini hanya segelintir, ada banyak lagi termasuk sistem pencarian peranti hilang tersendiri. Jika sudah ada banyak, pada hemat saya ia sudah lebih dari cukup. Huawei Pay, Google Pay semuanya penggunaan terhad. Huawei Pay hanya menyokong Union Pay dan Industrial and Commercial Bank of China, Google Pay tiada di Malaysia, berdasarkan pengalaman saya tidak ramai pengguna Malaysia gunakan Google Assistant, jadi ada atau tiada Celia tidak menjadi masalah, dan pelbagai lagi.

Huawei P40

Apa yang dapat saya simpulkan adalah, pengguna di Malaysia tidak gemarkan ketiadaan Play Store. Play Store adalah gedung aplikasi yang menawarkan lebih 2.56 juta (statistik Oktober 2020) aplikasi. Apa yang ingin dicari pasti ada. Dari aplikasi produktiviti, permua, perbankan, media sosial semuanya mudah dicari. Tetapi Huawei Mobile Services dengan AppGallery mereka tidak begitu menarik.

Walaupun banyak aplikasi orang Malaysia gunakan, tetapi ia masih terhad. Buakn itu sahaja, antaramuka yang berbeza, tidak kemas, kategori yang tidak menarik dan kaedah pembayaran yang sedikit sukar untuk belian dalam aplikasi. Ini mungkin adalah sebab utama kenapa orang ramai kecam Huawei. Pengguna tegar Android yang pakar dengan root, modifikasi sistem, atrau tahu kaedah pemasangan APK sebenarnya tidak menjadi masalah. Ada sahaja cara untuk selesaikan.

Disebabkan itu Huawei hadir dengan Petal Search, yang mana banyak APK boleh dicari dan pengguna hanya perlu cari, muat turun dan pemasangan adalah automatik. Ada sahaja alternatif Huawei berikan.

Dalam penggunaan saya, perkara paling penting pada hemat saya adalah Google Drive atau Google Photos. Huawei hanya ada Huawei Cloud dan tidak menawarkan cara untuk pindahkan gambar-gambar Google Photos ke Huawei Cloud. Begitu juga Google Drive, pengguna akan menerima storan awan yang kosong dan tidak boleh selarikan dengan perkhidmatan storan awan yang lain. Harga tidak begitu mahal, malah ada tawaran percuma lagi. Huawei Cloud sukar digunakan dan tidak menarik. Tetapi bukankah ini memberi peluang kepada pengguna untuk mula semuanya dari awal? 0-0.

Petal Maps pula adalah seakan menggunakan Apple Maps di Malaysia. Seperti yang anda semua sedia maklum, data-data Apple Maps tidak begitu tepat dengan Google Maps. Arahan selol-belok Apple Maps tidak tepat dan banyak lokasi tidak dapat dicari. Begitu juga dengan Petal Maps. Penggunaannya terhad dan lokasi tidak begitu jitu. Suara yang memberi arahan adalah seakan robot serta banyak juga lokasi yang tidak dapat dicari. Tetapi aplikasi seperti Here Maps ada sahaja. Ini mungkin kerana pengguna sudah biasa dengan Google Maps dan Waze jadi tidak selesa dengan alternatif.

HUAWEI Docs

Huawei Docs pula asas sahaja, tetapi bukannya langsung tidak boleh digunakan. Bukannya pengguna akan menggunakan telefon sepenuhnya untuk tugasan dokumen. Sekadar membaca dan suntingan ringkas sudah memadai dan teruskan kerja pada komputer riba. Apa yang Huawei Docs tawarkan sama seperti Google Docs pada awal penawaran.

Huawei Video

Kemudian perkara penting lain pada hemat saya adalah Huawei Video. Huawei tiada alternatif yang baik untuk YouTube. Kaedah haram ada seperti YouTube Vanced, tetapi tidakkah itu perkara yang tidak beretika? Huawei Video lebih kepada alternatif untuk Netflix yang sangat terhad. Kandungannya tidak menarik sehinggakan saya akan sarankan Apple TV+ itu lagi menarik. Tetapi, macam saya katakan tadi – bukan tiada. Ia ada, tetapi anda memilih untuk tidak menonton. Ada sahaja filem dan siri TV. Jika anda boleh beri peluang kepada Apple TV, kenapa tidak Huawei?

Kemudian adalah Huawei Music yang mana alternatif untuk Spotify atau YouTube Music. Pengguna yang gemar mendengar muzik akan ambil berat mengenai hal ini. Kandungan muzik seperti Huaweo Video, tidak banyak yang hangat dan menarik. Banyak kandungan dari China, yang mana tidak mencukupi jika berbanding YouTube Music yang ada banyak pilihan muzik dari seluruh dunia.

HMS sudah lengkap. Tetapi anda memilih untuk mengelak darinya dan cuba pelbagai kaedah memasang Play Store atau sideload GMS. HMS pada waktu ini masih bayi dan Huawei telah janjikan akan ada banyak lagi perubahan dan perkembangan di masa akan datang. Tetapi itulah, kalau hanya sekadar janji dan tiada garis masa – ramai tidak percaya. Lagi-lagi dari jenama yang ada tuduhan mencuri data.

HMS sudah sedia digunakan orang ramai dan ia adalah satu sistem yang cukup stabil. Tetapi ia masih tidak memuaskan untuk pengguna global, pengguna China mungkin kerana dari dulu tiada GMS pada mana-mana peranti. Ramai yang tidak boleh menerima satu perkhidmatan yang tidak matang dan takut akan peralihan. Semua sudah biasa dengan perkara yang biasa yang dilihat hampir setiap hari. Jika ada yang baru, orang ramai tidak akan selesa dan mempunyai perasaan yang sistem ini ada yang kurang.

Mereka yang boleh dan sesuai menggunakan HMS pada hemat saya adalah pengguna iOS yang tidak banyak bergantung kepada perkhidmatan Google, orang-orang tua yang hanya menggunakan WhatsApp, mereka yang gemar dengan fotografi atau videografi serta yang ingin bebas dari penjejakan Google.

Walaupun HMS sudah lengkap, stabil, tetapi buat masa ini – ia bukan untuk semua orang. Saya sendiri hanya mampu bertahan selama 2 minggu sahaja, kemudian rasa tertekan dengan HMS. Sekarang bukan masa untuk Huawei, tetapi kelak – mungkin selepas Harmony OS sudah stabil dan banyak aplikasi ada di AppGallery mungkin boleh dipertimbangkan kembali. Sama-sama kita renungkan.


TIPS & ULASAN