Cari @ Amanz

Walaupun jumlah peranti pintar diperlihatkan mempunyai nombor yang jauh meninggalkan komputer desktop tidak kira di pasaran tempatan ataupun global, masih lagi terdapat diantara kita yang tidak dapat melepaskan hajat untuk bermain permainan di skrin besar dengan papan kekunci dan tetikus.

Tech Armory ialah sebuah jenama gaming tempatan yang membuat desktop dan komputer riba bersama-sama dengan aksesorinya, dan kini, kereka telah memperkenalkan dua model paparan skrin gaming dibawah nama Commandos Spectrum, yang terdiri daripada Commandos Spectrum G2411FN dan juga Commandos Spectrum G2711CA.

Commandos Spectrum G2411FN menggunakan panel Super TN bersaiz 24 inci dengan resolusi Full HD dan menyokong teknologi Adaptive Sync dan mempunyai kadar segar semula 165Hz.

Dari segi port I/O, paparan skrin ini hadir dengan sebanyak dua port HDMI 2.0 dan juga satu port DisplayPort 1.4 yang boleh digunakan untuk disambungkan ke dua peranti berbeza.

Commandos Spectrum G2711CA pula ialah paparan skrin bersaiz 27 inci yang menggunakan panel VA melengkung dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 165Hz dengan sokongan untuk ciri Adaptive Sync.

Ciri unik paparan ini ialah ia mempunyai panel melengkung 1500R dengan gamut warna sRGB hampir 100 peratus. Ia juga mempunyai sudut pandangan 178 darjah dan mempunyai bezel nipis yang memaksimakan penggunaan paparan khususnya untuk tujuan gaming dan menonton video.

Paparan Commandos Spectrum G2411FN dan G2711CA ini boleh dibeli melalui laman web Tech Armory pada harga bermula RM499 untuk paparan 24 inci, dan RM799 untuk paparan bersaiz 27 inci tersebut.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd