Kerajaan Rusia kini telah mendraf perundangan terhadap syarikat gergasi teknologi dari Amerika Syarikat, yang akan membolehkan Rusia menghalang akses ke media sosial seperti Facebook, Twitter, dan YouTube sekiranya didapati menapis kandungan daripada pengguna Rusia.
Ia diperkatakan terdapat sejumlah aduan yang diterima mengatakan kandungan daripada pengguna dari Rusia diharamkan oleh platform luar seperti Facebook, Twitter dan YouTube. Disamping itu, pihak kerajaan Rusia juga turut tidak begitu gemari label yang disertakan pada beberapa akaun media sosial dengan penerangan mengatakan “State-Affiliated Media”.
Selain itu, satu lagi perundangan yang dalam bentuk draf adalah kebolehan Rusia untuk mendenda penyedia internet dan laman antara 10% hingga 20% pendapatan tahunan di negara berkenaan sekiranya gagal membuang kandungan yang diharamkan. Ia diperkatakan Facebook, Twitter dan YouTube mengandungi kandungan yang diharamkan berdasarkan kepada perundangan Rusia.
Buat masa ini, draf ini hanya perlu melepasi beberapa fasa lagi sebelum digunakan sebagai perundangan.
Sebelum ini, mahkamah di Moscow, Rusia turut pernah menyaman Facebook dan Twitter kerana tidak mengikut undang-undang yang memerlukan mereka menyimpan data pengguna Rusia dalam negara tersebut.