Cari @ Amanz

Virtual Private Network, ataupun VPN biasanya digunakan oleh mereka yang mahu menyulitkan rangkaian mereka, ataupun untuk mengakses kandungan internet yang biasanya tidak ditawarkan di negara ataupun rantau mereka.

Teknologi ini hadir dengan banyak kebaikan, tetapi juga boleh digunakan untuk berbuat jahat. Baru-baru ini, ia telah dilaporkan bahawa pihak FBI dan juga Europol baru-baru ini telah bekerjasama untuk menutup perkhidmatan VPN Safe-Inet yang diiklankan kepada dan digunakan oleh penggodam-penggodam yang jahat.

Laporan daripada TorrentFreak mengatakan bahawa Safe-Inet digunakan oleh penggodam untuk tujuan mengedarkan perisian tebusan, mencuri butiran kad kredit dan juga pengambil-alihan akaun atas-talian pengguna-pengguna.

Masalah dengan perkhidmatan VPN seperti Safe-Inet ini ialah ia bukan sahaja diiklankan dan digunakan oleh penggodam, tetapi mangsa-mangsa godaman ini yang menghantar emel pertanyaan dan permintaan kepada syarikat VPN tersebut biasanya tidak diendahkan, dan ini membuatkan syarikat tersebut sebagai bersekongkol dengan pihak jahat tersebut.

Dibawah Operasi Nova, pihak polis Jerman dan juga FBI dan pihak penguatkuasa keselamatan di Eropah berganding bahu untuk menundukkan Safe-Inet, yang digunakan untuk mengintip sebanyak 250 syarikat di seluruh dunia.

Kini, laman web Safe-Inet telahpun diambil-alih oleh pihak penguatkuasa, dan mesin-mesin pelayan syarikat tersebut juga disita untuk memastikan perkhidmatan VPN mereka tidak boleh digunakan lagi oleh sesiapa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd