Carian
Ulasan Realme Buds Wireless Pro – Apa Maksud Pro?
December 30, 2020 Fahim Zahar

Baru-baru ini, Realme telah melancarkan dua set fon telinga nirwayar baru. Satu adalah Realme Buds Air Pro, iaitu TWS yang mempunyai sokongan pembatalan hingar aktif (ANC) dan satu lagi adalah Realme Buds Wireless Pro, iaitu set fon telinga nirwayar jenis neckband yang turut mempunyai ANC. Adakah kini barangan audio dari Realme yang “Pro” bermakna menyokong ANC? Atau ia adalah untuk golongan profesional?

Ini adalah pertama kali Realme hadir dengan aksesori audio yang menyokong ANC, Realme Buds Pro Air dalam ulasan kami mempunyai ANC yang lemah dan seakan tidak berfungsi langsung. Tidak kira di dalam pejabat atau di luar yang bising, semua bunyi bising ini masih boleh didengari dengan jelas. Bagaimana pula dengan Realme Buds Wireless Pro? Kami telah menggunakannya untuk beberapa minggu dan ini adalah artikel ulasan kami.


Spesifikasi & Rekaan

Realme Buds Wireless Pro
JenisFon telinga niwayar bertali
Mikrofon
Bateri16 jam tanpa ANC
22 jam dengan ANC
PengecasanUSB-C, 5 minit 100 minit ketahanan
Cip AudioRealme S1
CODECSBC, AAC, LDAC
Sokongan AplikasiAndroid
Sokongan pembantu mayaYa
KawalanButang fizikal
Kemampuan kalis airIPX4
Harga JualanRM 269

Untuk aksesori audio nirwayar jenis neckband, kebanyakannya akan kelihatan lebih kurang sama. Dari OnePlus atau Oppo mahupun Realme, format rekaannya adalah lebih kurang. Pada permukaan fon telinga Realme Buds Wirelss Pro ini mempunyai sedikit elemen rekaan OnePlus Bullets Wireless.

Silikon yang digunakan juga baik dan ia berada sedikit menyenget di tepi. Kemudian wayarnya berwarna kuning di kedua-dua belah dan terus bersambung kepada bahagian yang diletakkan di leher.

Di bahagian pada leher ini ada empat butang dan lampu LED untuk indikasi status bateri atau tambatan. Butang aras suara dan butang aksi digabungkan, manakala butang kuasa dan butang kawalan ANC diasingkan. Terdapat port USB-C untuk tujuan pengecasan. Bahagian leher ini diperbuat dari bahan gel silika dan besi memori yang dibina dari aloi titanium. Berat juga hanya 33g.

Pemacu audio pada aksesori audio ini adalah 13.6mm, dijana cip S1 dari Realme sendiri, sokongan LDAC, pembatalan hingar aktif, bateri sehingga 22 jam dan fon telinga bermagnet untuk menjeda media. Realme mendakwa ANC mereka boleh menapis hingar mencapai 35dB.

Kemudian, Relame Buds Wireless Pro ini mempunyai perlindungan IPX4 agar boleh digunakan ketika melakukan senaman ringkas. Sokongan LDAC ini menawarkan kualiti audio nirwayar yang lebih baik dan aplikasi Realme Link diperlukan untuk kawalan tambahan atau mengubah tetapan.

Kualiti Audio

Sekali lagi, Realme bawakan satu produk gimik. ANC pada aksesori audio ini juga seakan tidak berfungsi. Baik berada di luar atau di dalam, semua bunyi bising yang sepatutnya tidak dengar boleh dengar seperti biasa. Ia lebih kepada pembatalan hingar aktif, kerana apabila dibandingkan dengan aksesori audio ANC lain – Realme berada di tangga terakhir. ANC pada aksesori audio ini membuatkan kami teringat kepada Oppo Enco Q1, ia sekadar ada dan tidak berfungsi dengan baik.

Setakat mematikan bunyi deram-derum atau frekuensi rendah sahaja. Frekuensi tinggi seperti bunyi orang bercakap, bunyi enjin kereta yang kuat tidak ditapis. Tetapi sambil itu masih ada rasa tekanan memicit kedua-dua telinga. Ia seakan aksesori audio ini cuba memaksa untuk ada ANC tetapi tidak mampu. Mod transparency pula jika dimatikan dan dihidupkan dan kemudian bandingkan dengan mod biasa – adalah sama sahaja.

Untuk kualiti audio, pada muzik-muzik dengan nada yang tinggi ia baik sekali. Enak didengari dan tidak tajam, jadi telinga tidak rasa bingit atau bising. Tetapi mana-mana muzik dengan nada sebegini terasa tidak cukup jelas dan seakan ada perkara yang kurang. Untuk mid pula iaitu vokal, suara penyanyi kedengaran tidak begitu jelas dan tidak tajam. Ia seakan jika anda terlampau kenyang makan dan cuba bercakap. Suara lelaki yang dalam adalah cukup enak dan lebih baik dari suara penyanyi dengan nada yang tinggi.

Bass pada Realme Buds Wireless Pro ini terlampau berlebihan, yang mana terlebih cukup dentumannya seperti tiada arah dan tidak tetap. Ini memberi kesan kepada vokal tadi. Pementasan audio pula dilihat tepat di telinga dan betul-betul berada di tengah-tengah yang mana adalah cukup seimbang.

Secara keseluruhan, kualiti audio pada aksesori audio ini adalah baik sahaja. Tetapi bass yang berlebihan sedikit mengganggu pengalaman penggunaan. Disebankan bass seperti ini, fungsi Bass Boost tidak perlu diaktifkan pun tidak mengapa. Kemudian masalah pendam masa juga tidak begitu terasa, ia baik sahaja dan pengguna pasti akan puas. Cuma sedikit kecewa dengan ANC yang ditawarkan. Jika Realme Buds Air Pro sudah mempunyai ANC yang lemah, Realme Buds Wireless Pro ini lebih lemah dari TWS mereka.

Ketahanan Bateri

Aksesori audio jenis neckband tidak mempunyai bateri sandaran seperti yang ditawarkan pada aksesori audio jenis TWS. Jadi, bateri pada Realme Buds Wireless Pro ini sedikit lebih lemah dari jenis TWS. Realme mendakwa yang produk ini mempunyai ketahanan bateri 22 jam maksimum tanpa ANC, 16 jam dengan ANC, 5 minit pengecasan boleh bertahan selama 1 jam 40 minit dan masa pengecasan adalah 1.5 jam untuk penuh.

Dalam ujian kami, ketahanan bateri adalah sedikit lebih lemah. Tetapi itu pun bergantung kepada cara pengecasan dan media yang dimainkan. Dengan ANC, ujian kami dilihat menerima ketahanan sekitar 13 jam sehingga 14 jam sahaja dan tanpa ANC adalah sekitar 20 jam. Sedikit rendah berbanding dari yang dipromosikan.

Tetapi macam dalam mana-mana ulasan, bateri pada set fon telinga sepatutnya bukan satu masalah. Pada kami itu sudah memadai, kerana kita bukannya menggunakan set fon telinga berterusan tanpa henti dan tanpa rehat selama 16-22 jam. Kita akan tanggalkan dan rehat, makan, sembahyang – ketika itu caj sebentar dan masalah selesai. Tidak leceh pun, kabel pula USB-C yang mana kebanyakan peranti Realme pun menggunakan USB-C.

Kawalan & Fungsi Pintar

Sama seperti Realme Buds Pro mereka, Realme Buds Wireless Pro juga adalah salah satu produk AIoT daripada Realme. Mungkin kerana ia perlu sentiasa berhubung dengan aplikasi dan boleh seru Google Asssistant – Realme anggap ia adalah satu peranti berhubung sedangkan ianya bukan. Tetapi apapun, aplikasi Realme Link pada hemat kami tidak begitu berguna untuk kebanyakan aksesori audio mereka.

Selepas banyak menguji aksesori audio Realme, aplikasi Realme Link dilihat mempunyai kawalan yang lebih kurang sama. Bass yang tidak begitu baik jadi tidak perlukan aktifkan Bass Boost+, ANC yang tidak begitu berfungsi juga membuatkan anda tidak memerlukan aplikasi ini. Kecuali jika anda ingin mengubah fungsi setiap butang, itu sahajalah fungsi aplikasi ini.

Realme Buds Wireless Pro juga mempunyai sokongan Fast Pair daripada Google yang mana ia boleh ditambat pada peranti Android dengan pantas dan mudah. Dalam tetapan peranti juga, pengguna boleh lihat tetapan LDAC dan status bateri. Tetapan lalai pada aksesori audio juga sudah memadai dan percayalah, tiada aplikasi ini juga tidak menjadi masalah.

Pujian diberikan kepada Realme, kerana butang-butang pada aksesori audio ini sangat berfungsi. Pertama, tekan butang aksi tersendiri dua kali dan ia boleh tambat dari satu peranti ke peranti lain dengan mudah. Kemudian butang aksi yang berada di tengah-tengah antara butang kuasa boleh ditekan untuk seruan Google Assistant. Fon telinga bermagnet juga membantu untuk menjeda media ketika ingin rehat.

Kesimpulan

Jika aksesori audio jenis neckband adalah gaya anda dan anda gemarkannya, tidak dinafikan yang Realme Buds Wireless Pro ini adalah pilihan baik sekali. Kualiti audio yang cukup baik untuk kategori ini dan harga yang ditawarkan juga tidak begitu mahal. Dengan harga RM269, dalam pengalaman penggunaan aksesori audio sebegini OnePlus mencecah lebih RM300 dan ada yang mencapai lebih RM400, kemudian Oppo juga lebih RM300.

Penawaran Realme bawah RM300 ini membuatkan kami rasa ini adalah satu aksesori berbaloi. Tetapi, perlu diingatkan yang anda jangan beli aksesori audio ini kerana ANC – tetapi belilah kerana kualiti audio yang boleh diterima. Kami katakan tadi yang bass berlebihan pada Realme Buds Wireless Pro, jadi anda boleh cari aplikasi equalizer dan laras treble untuk seimbangkan lagi.

Kami tidak dapat rasakan yang ini adalah satu aksesori audio yang Pro, tetapi lebih kepada variasi “Plus”. Apa yang kami tidak gemar pada aksesori ini adalah ANC sahaja, lain-lain baik sahaja dan memuaskan. Realme sehingga hari ini menawarkan banyak aksesori audio yang penuh dengan gimik yang tidak dapat digunakan dengan baik oleh pengguna.


Pro

  • Kualiti binaan yang terasa premium.
  • Kualiti audio yang memuaskan dan menggembirakan penggemar bass.
  • Selesa dan padat dengan ciri berguna seperti kawalan tambahan dan fon telinga bermagnet.
  • Harga yang berbaloi dan mampu milik

Kontra

  • ANC yang seakan tidak berfungsi dan adalah gimik semata-mata
  • Realme Link seakan tidak berguna
  • Rekaan yang klise
Komen