Kalau sebut sahaja ANC atau pembatalan hingar aktif, Sony pasti terlintas dalam fikiran kerana Sony mempumyai produk audio dengan ANC yang terbaik dipilih oleh orang ramai. Dari kedua-dua model XM3 atau set fon kepala XM4 yang terkini. Tetapi, di luar sana ada banyak lagi TWS dengan ANC. Realme ada Realme Buds Air Pro, Oppo ada Enco X, Apple dengan AirPods Pro dan buat pertama kalinya selepas bertahun dalam industri audio – Jabra hadir dengan TWS ANC tersendiri.
Produk ANC dari Jabra Elite 85t adalah TWS pertama Jabra yang menyokong pembatalan hingar aktif. Siri Elite terkenal dengan pembatalan hingar pasif sahaja dan pada Elite 75t dan Elite Active 75t ANC adalah jenis perisian yang diberikan dalam kemaksini. Jabra dikira sebagai produk premium, sepadan dengan Apple, Sony dan lain-lain – adakah Jabra Elite 85t ini enak dan bagaimanakah kemampuan ANC pada TWS ini? Adakah Sony akhirnya mempunyai pencabar?

Spesikasi Dan Rekaan
Jabra Elite 85t | |
---|---|
Jenis | TWS, fon telinga dalam telinga |
Mikrofon | 6 |
Bateri | 5.5 Jam ANC, 25 Jam Berterusan |
Pengecasan | USB-C, 2.5 jam penuh Qi, 3.5 jam penuh 15 minit cas 1 jam penggunaan |
Cip Audio | Tersendiri |
CODEC | SBC, AAC, Bluetooth 5.1, |
Sokongan Aplikasi | Android, iOS, Huawei HMS |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Kawalan | butang fizikal |
Kemampuan kalis air | IPX4 |
Harga Jualan | RM 1049 |
Sekali lagi, Jabra tidak memberitahu cip pemprosesan apa yang mereka gunakan. Besar kemungkinan ia adalah cip Qualcomm buatan khas atau mungkin cip mereka tersendiri. 6 mikrofon masih dikekalkan, tetapi kini ANC diintegrasi dari perkakasan bukannya perisian. Bateri mempunyai sedikit peningkatan dan paling menarik, pod pengecasan kini menyokong pengecasan nirwayar.

Rekaan Jabra Elite 85t tidak dinafikan mirip dengan Elite 75t. Ia seakan tiada beza, kecuali sedikit lebih besar. Pada fon telinga, rekaan kini dua tona cerah dan gelap. Ia kelihatan seakan ada menggunakan dua bahan berbeza untuk memperlihatkan visual yang nenarik. Setiap fon telinga ada kekisi, lubang untuk sensor dan mikrofon serta setiap satu fon telinga mempunyai butang fizikal untuk kawalan.
Pod pengecasan juga semakin besar, tetapi elemen rekaan sedikit berbeza. Kualiti binaan jika dibandingkan dengan 75t, 85t pada bahagian penutup sedikit longgar. Lain-lain adalah seperti apa yang anda jangka untuk produk audio dari Jabra.
Kualiti Audio

Seperti biasa, TWS dengan sokongan pembatalan hingar akan kami ceritakan terlebih dahulu bagaimanakah prestasinya. Seperti yang dikatakan tadi, TWS Jabra sedia terkenal dengan pembatalan hingar pasif. Adakah ini bermakna pada TWS ini, pasif lebih baik dari ANC atau sebaliknya? Jujur kami katakan, ANC pada TWS ini adalah sangat baik. Bunyi bising yang diasingkan atau ditapis menjadi dan benar-benar berfungsi dan bukan sekadar promosi kosong atau gimik. Berani kami katakan yang tahap ANC Jabra Elite 85t ini setanding dengan Sony WF-1000XM3 atau 1More True Wireless ANC.
Tetapi, ia terlampau kedap dan memberikan satu tekanan yang membuatkan penggunaan masa panjang tidak begitu selesa. Ia sangat menjadi, orang berbual, bunyi angin, enjin kereta, petik jari – boleh dikatakan dipadam terus dari pendengaran telinga. Disebabkan ia terlampau kuat dan kedap, kami rasakan yang pembatalan hingar pasif yang tersedia sudah cukup baik. Kami lebih gemar pembatalan hingar yang pasif berbanding aktif, kerana ia lebih selesa dan seronok. Pengasingan bunyi juga sudah cukup hebat, yang mana Jabra teruskan kekuatan mereka ini dan tidak terus gantikan dengan ANC.

Bass pula mempunyai dentuman yang baik dan padat. Tetapi ia sedikit berlebihan sehinggakan ia menjejaskan kualiti pada vokal (mids). Untuk itu, kami gunakan aplikasi Sound+ dan aktifkan Treble Boost untuk seimbangkan kualiti audio agar ia tidak terlampau fokus kepada bass. Bercakap mengenai vokal tadi, kualitinya tidak dinafikan hebat. Vokal kedengaran dengan jelas sekali dan terasa tenang. Tetapi gangguan bass berlebihan tadi menjadikan ia tidak begitu terang dan butiran tidak dapat didengari dengan jelas.
Pada nada tinggi pula, ia tidak begitu menyerlah dan tidak begitu jelas. Ia seakan jatuh ke bawah. Anda bayangkan ada graf pada nada tinggi, ia baik sahaja sedang menaik – tetapi tiba-tiba jatuh. Definisi nada tinggi itu tidak begitu tercapai. Tetapi, pementasan audionya memberikan ruang yang menegak. Ini bermakna ia tidak cukup lebar dan terlampau fokus kepada satu bahagian. Secara tidak langsung, muzik yang didengari akan serabut degan banyak instrumen dan sukar untuk diasingkan.

Pada sesetengah orang ini adalah perkara yang baik, ada pula yang tidak gemar dengan gaya begini. Disebabkan itu, Jabra Elite 85t ini tidak boleh terus digunakan sebaik beli. Penalaan pada aplikasi perlu dilakukan, seperti memilih tahap ANC atau menetapkan profil audio tersendiri agar pengalaman pendengaran itu kena dengan jiwa pengguna.
Ketahanan Bateri
Jabra menjanjikan ketahanan bateri selama 5.5 jam dengan ANC dan boleh mencapai sehingga 25 jam dengan pod pengecasan. Pengecasan selama 15 minit pula boleh bertahan sehingga 1 jam dan masa pengecasan adalah 3.5 jam untuk penuh Jika dicas secara nirwayar. Manakala pengecasan berwayar adalah 2 jam 30 minit. Jabra dari dahulu lagi agak hebat dengan bateri. Pada 85t ini mereka memudahkan lagi pengguna dengan sokongan pengecasan nirwayar terbina tanpa dijual berasingan.

Dalam penggunaan kami, kami rasakan ia mampu capai sekitar apa yang Jabra janjikan. Kami tiada alat untuk mengukur tahap kehabisan bateri TWS ini, jadi kami melakukan kiraan manual. Kami tidak gunakan dalam tempoh satu hari secara berterusan, kami gunakan dalam 2-3 jam dan kemudian simpan dalam pod pengecasan. 30 minit sehingga 1 jam panggilan telefon dan tonton siri TV atau filem sekitar 1-2 jam serta kadangkala mendengar muzik sekitar kurang 1 jam – TWS ini mampu bertahan satu minggu.
Ini bermakna, janji Jabra itu boleh dipercayai. Sekali lagi, kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan bateri. Bateri pada Jabra Elite 85t ini memang terbaik dan cukup hebat.
Kawalan Dan Fungsi
Sehingga ke versi Elite 85t, Jabra masih kekalkan dengan kawalan menggunakan butang fizikal. Setiap fon telinga mempunyai butang fizikal dan setiap butang ini boleh ditetapkan dengan fungsi tersendiri. Tetapan yang kami tetapkan adalah, fon telinga kanan tekan satu kali jeda/main, tekan dua kali langkau, tekan tiga kali seru Google Assistant. Fon telinga kiri pula, tekan satu kali aktif/matikan ANC atau hidupkan fungsi HearThrough dan banyak lagi tetapan menarik.

Malah tetapan turut boleh diubah khusus untuk panggilan telefon sahaja atau media sahaja. Aplikasi Sound+ Juga amat membantu. Ketika awal melakukan tambatan, profil audio tersendiri boleh ditetapkan dan equalizer turut terpapar untuk penalaan tambahan. Kawalan ANC pada aplikas juga efisien kerana boleh ubah pada pelbagai tahap, ada bunyi alam semula jadi untuk meditasi dan fungsi carian TWS juga disertakan.

Pod pengecasan juga kini mempunyai sistem pengecasan nirwayar Qi terbina, tidak seperti 75t yang dijual berasingan. Fungsi HearThrough yang kami sebutkan tadi adalah untuk pengguna mendengar keadaan sekeliling. Misalnya, sedang anda mendengar muzik dan rakan sekerja menyapa untuk bertanyakan soalan – ketika ini aktifkan mod ini dan mikrofon akan menangkap bunyi sekeliling untuk pendengaran yang lebih jelas. Malah jika pengguna sedang bercakap, suara sendiri turut kedengaran ditangkap dari mikrofon.
Kesimpulan
Jabra Elite 85t terbukti mampu bersaing dengan Sony WF1000-XM3. ANC yang gila kuat dan kedap yang mampu menapis hampir kesemua bunyi bising, sambil mengekalkan pembatalan hingar pasif yang cukup baik. Kualiti audio hanya enak didengari jika penalaan telah dilakukan dan menggunakan profil audio tersendiri. Jika tidak kualiti audio tidak begitu enak dan bass begitu dalam.
TWS ini pada hemat kami rasakan cuba cuba mimik produk audio profesional, kerana perlu banyak bermain dengan tetapan dan perlu lakukan penalaan. Pengguna biasa yang tidak begitu arif dalam audio, mungkin akan buntu dan terpaksa layan kualiti audio dengan bassnya terlampau dalam.

Jadi, adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Tanda harga rasmi adalah RM1049, jika anda inginkan muzik bass dalam serta dentuman kuat dan mempunyai ANC yang gila hebat – ini adalah TWS untuk anda. Jika anda ingin berjinak dalam penggunaan penalaan audio – ini juga terbaik untuk anda.
Harganya agak mahal. TWS Sony juga sudah boleh dibeli pada harga lebih kurang separuh. Sony lebih kepada seimbang dan untuk orang ramai, Apple untuk yang gemarkan ekosistem, 1More untuk yang ingin berani mencuba dan Jabra untuk yang handal. Sebelum beli, fikirkan terlebih dahulu bajet, penggunaan serta adakah ia kehendak atau keperluan. Harapnya artikel ini akan membantu anda membuat keputusan membeli.
Pro
- ANC yang sangat hebat dan menjadi.
- Kualiti audio yang menarik dan memuaskan dengan profil tersendiri.
- Selesa digunakan dalam jangka masa lama (tanpa ANC)
- Sokongan pengecasan nirwayar dan bateri tahan lama
Kontra
- Kualiti audio tetapan lalai mempunyai bass yang terlampau kuat.
- Walaupun ANC menjadi, ia terlampau kuat dan menyebabkan penggunaan tidak selesa.
- Tidak sesuai untuk pengguna biasa
