LG Akan Memperlihatkan Teknologi Paparan OLED Lutsinar Di CES 2021
LG

LG Akan Memperlihatkan Teknologi Paparan OLED Lutsinar Di CES 2021

Diterbitkan pada Dis 31, 2020 oleh .

Setiap tahun di acara CES, LG, syarikat teknologi terkemuka dari Korea akan memperlihatkan peranti-peranti terkini mereka, termasuklah peranti pintar, televisyen dan juga paparan skrin yang menggunakan teknologi baru ataupun yang hadir dengan penambahbaikan baru.

Pada acara CES 2021, LG mengatakan bahawa mereka akan memperlihatkan teknologi paparan OLED lutsinar terbaru mereka didalam beberapa senario yang berbeza.

Salah satu senario ini ialah di restoran sushi, dimana paparan lutsinar OLED ini akan diletakkan diantara pelanggan dan pakar sushi, dimana pelanggan boleh melihat menu restoran, disamping melihat pakar sushi tersebut membuat makanan mereka pada masa yang sama.

Satu lagi senario ialah didalam bilik tidur, dimana skrin lutsinar ini boleh digunakan untuk melihat video di YouTube ataupun Netflix, tetapi juga boleh melihat persekitaran bilik di belakang paparan tersebut.

Paparan lutsinar bukanlah sebuah konsep yang baru, tetapi apa yang membuatkan keluaran LG terbaru ini menarik ialah perbezaan dari segi kualiti lutsinar paparan terbaru ini berbanding dengan paparan LCD lutsinar yang pernah diperkenalkan sebelum ini.

LG mengatakan juga bahawa tahap lutsinar paparan OLED ini jauh lebih tinggi berbanding paparan LCD lutsinar mereka sebelum ini, dan bukan itu sahaja, ia juga dipadankan dengan sistem pembesar suara terbina, jagi pengguna tidak memerlukan pembesar suara tambahan untuk tahap audio yang memuaskan.

LG akan memperlihatkan butiran lanjut mengenai paparan skrin OLED lutsinar ini di acara CES 2021 yang akan berlangsung tidak lama lagi.


Paling Popular