Cari @ Amanz

Dalam filem klasik Ali Baba Bujang Lapuk, pintu gua penyamun boleh dibuka dengan menyanyikan “niat insong mata kaji semar inseng -“. Teknologi purbakala ini masih belum digunakan di rumah. Tetapi LG mempunyai teknologi yang hampir sama untuk membuka pintu peti sejuk terkini InstaView mereka.

Pintu peti sejuk ini akan terbuka apabila pengguna memberikan arahan suara sahaja. Ini amatlah berguna apabila tangan dipenuhi barang yang ingin dimasukkan ke dalam ruang sejuk. Seperti kesemua peranti berhubung LG, teknologi LG ThinQ digunakan dan memerlukan sambungan WiFi.

Selain itu InstaView juga mempunyai tingkap yang lut sinar pada pintu yang membolehkan pengguna melihat kandungan peti sejuk tanpa perlu membuka pintu terlebih dahulu. Apabila tingkap diketuk dua kali, lampu dalaman akan turut menyala. Dengan ini menurut LG, jumlah penggunaan elektrik dapat dikurangkan kerana udara sejuk tidak keluar setiap kali pintu dibuka.

Selain itu mesin air sejuk terbina InstaView mempunyai sistem pembasmi kuma UVnano yang mereka perkenalkan sejak 2017. Setiap sejam UVnano akan menyinari tempat simpanan air bagi membasmi 99.99% bakteria. LG Instaview terkini ini akan diperlihatkan secara maya sempena CES 2021 pada 11 Januari ini. Harga dan tarikh jualan masih belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd