Huawei kini dilihat telah membuang penawaran permainan daripada Tencent pada kedai aplikasi Huawei. Mengikut laporan, perubahan ini dilakukan disebabkan ketidak-selarian perbincangan berkaitan terma kerjasama.
Menurut Reuters, Huawei meminta perkongsian komisyen sebanyak 50% untuk pembelian dalam aplikasi, tetapi tidak dipersetuhui oleh Tencent. Pihak Tencent sendiri mengatakan permainan mereka dibuang kerana tidak memperbaharui kontrak promosi bersamma Huawei, membuatkan kandungan mereka dibuang daripada kedai aplikasi berkenaan.
Tencent Games mempunyai sejumlah permainan popular dibawah mereka, termasuk Arena of Valor, dan juga PUBG.
Pihak Huawei masih tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi. Huawei mempunyai pegangan pasaran sekitar 41.4% di China – menjadikan mereka antara pemain terbesar untuk kedai aplikasi disana, memandangkan ketiadaan Google Play Store. Pada peringkat global, Huawei dilihat mempunyai pegangan sekitar 14.9%.