Sudah bertahun lamanya jenama LeTV mendiamkan diri dalam produk audio dan telefon pintar, tahun 2021 ini – mereka telah melancarkan aksesori audio baharu secara mengejut. LeTV walaupun senyap lama, mereka masih aktif di China dengan produk televisyen pintar mereka. Akseosri audio yang mereka lancarkan ini adalah sejenis TWS dengan sokongan pembatalan hingar aktif – LeTV Super Earphone Ears Pro.
LeTV Super Earphone Ears Pro tidak dinafikan adalah satu lagi klon AirPods Pro. Lihat sahaja rekaannya, boleh dikatakan 90% mengikut rekaan AirPods Pro. Kerang diubah dengan mempunyai takuk agar penutup mudah dibuka, ada empat lampu LED dan logo LeTV. Tiada butang kelihatan untuk tetapan semula tambatan, tetapi pod pengecasannya dilihat menggunakan kemasan metalik pusam pada warna hitam dan putih berkilat pada warna putih.
Kedua-dua fon telinga mempunyai bentuk yang semua orang kenal. Tetapi pada bahagian tangkai ada sedikit permukaan rata – mungkin untuk kawalan sentuhan. TWS ini dijana dengan cip Bluetooth 5.0 tersendiri, L1+. Ia juga menyokong codec HSP, HFP, A2DP, AAC, dan SBC serta menyokong kawalan sentuhan asas seperti sentuh sekali main/jeda, dua kali langkau dan tiga kali kembali. Bateri pula untuk penggunaan berterusan bertahan selama 4 jam dengan saiz 45mAh pada setiap fon telinga. Kemudian dengan pod pengecasan, ia boleh bertahan selama 28 jam.
Ia hanya dijual di China dan akan dipasarkan pada 7 Januari. LeTV Super Earphone Ears Pro adalah TWS ANC mampu milik dengan harga jualan hanya RMB218, iaitu sekitar RM135. Tidak pasti jika ANCnya adalah benar-bemar berfungsi atau sekadar gimik. Tetapi jika gimik pun, harga bawah RM150 tidak akan ada masalah.