Lenovo Legion Slim 7i Bakal Hadir Di Pasaran Tempatan Pada Harga Bermula RM7599

Lenovo Legion Slim 7i Bakal Hadir Di Pasaran Tempatan Pada Harga Bermula RM7599

Diterbitkan pada Jan 4, 2021 oleh .

CES 2021 bakal berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi, dimana ia dijangka AMD, Intel dan NVIDIA kesemuanya akan memperlihatkan komponen baru yang akan menguasakan komputer-komputer riba produktiviti dan gaming pada tahun ini.

Walaupun begitu, jika anda tidak mahu menunggu, dan ingin mendapatkan sebuah komputer riba gaming nipis yang masih lagi hadir dengan spesifikasi yang berkuasa, Lenovo Malaysia bakal membawa masuk komputer riba gaming terbaru mereka, Lenovo Legion Slim 7i ke pasaran tempatan.

Legion Slim 7i dilengkapi dengan paparan skrin IPS bersaiz 15.6 inci dengan pilihan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz ataupun 4K dengan kadar segar semula 60Hz yang mempunyai rekaan hampir nirbingkai di tiga bahagian paparannya.

Dari segi rekaan, rangka Legion Slim 7i ini diperbuat daripada aluminum dengan rekaan engsel yang membolehkan bahagian paparan dibaringkan sehingga 180 darjah tanpa masalah. Ia mempunyai ketebalan 17.9mm dan juga hanya seberat 1.86kg, menjadikannya diantara komputer riba gaming yang paling ringan di pasaran.

Dari segi spesifikasi dalaman, Legion Slim 7i ini dikuasakan pilihan CPU Intel generasi ke-10 dari Intel Core i5-10300H ke Intel Core i9-10980HK, pilihan memori DDR4 sehingga 32GB dan juga storan SSD M.2 NVMe sebesar 2TB.

Bergantung kepada keperluan gaming anda, Legion Slim 7i ini hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti, NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti dan juga NVIDIA GeForce RTX 2060.

Legion Slim 7i juga disejukkan menggunakan sistem penyejukan Legion Coldfront yang diperbaharui dengan sistem dwi-kipas yang hadir dengan 82 bilah yang mengalirkan haba keluar kepada empat ruang pengudaraan untuk memastikan komputer riba ini berfungsi pada kadar yang optimum sepanjang masa.

Ia juga menggunakan bateri 71Wh yang menjanjikan jangkahayat selama sekitar 7 jam apabila dicas dengan penuh.

Lenovo Malaysia berkata bahawa Lenovo Legion Slim 7i ini akan tiba di pasaran tempatan tidak lama lagi pada harga permulaan RM7599. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai komputer riba ini, anda boleh ke laman web Lenovo Malaysia untuk membaca mengenainya.



Paling Popular