Kita sudah pun memasuki tahun 2021, yang mana ramai harapkan tahun ini adalah tahun yang lebih baik dari tahun lepas. Pelbagai perkara baru akan diperkenalkan pada tahun ini dan kita akan lihat banyak inovasi teknologi, sudah semestinya – apakah perkara menarik yang dijangka akan tiba pada peranti-peranti tahun ini. Sudah pasti, perkara yang diramalkan akan tiba tahun ini sebelum ini tidak ada pada peranti tahun lepas.
1. Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin Ultrasonik Lebih Meluas

Selama ini, pengimbas cap jari ultrasonik hanya digunakan oleh Samsung. Tahun ini bermulanya peranti bukan Samsung menggunakan sensor sebegini. Xiaomi adalah antara yang terawal dengan penawaran sebegini. Mi 11, iaitu peranti mercu pertama tahun 2021 (dilancarkan pada tahun 2020, pasaran tahun 2021) – hadir dengan sensor ini. Bukan itu sahaja, sensor ini turut mempunyai pengimbas nadi terbina, yang mana adalah satu keunikan.
Jika Xiaomi boleh, bermakna jenama lain juga boleh menggunakan sensor ini dan tidak lagi perlu menggunakan sensor optikal yang mencerahkan skrin peranti.
2. Letusan Peranti Skrin Boleh-Lipat Harga Mampu Milik
Jika tahun lepas kami ramalkan adalah tahun letusan peranti dengan skrin boleh-lipat, tahun ini perkara ini akan diteruskan tetapi sedikit berlainan. 2019 dan 2020 adalah tahun di mana peranti boleh-lipat menggunakan cip peranti mercu. Motorola sahaja yang menggunakan cip peranti kelas pertengahan.

Tetapi tahun ini adalah tahun di mana bermulanya peranti boleh-lipat boleh didapatkan dalam lebih banyak pilihan dalam kategori kelas-pertengahan dan akan dijual pada harga yang lebih murah. Peranti boleh-lipat kini dijual pada harga sekitar RM3000-RM8000. Mungkin selepas ini bawah RM5000 atau mungkin bawah RM3000 boleh kita temui. Samsung akan hadir dengan satu dan Xiaomi pula dilaporkan akan hadir dengan tiga.
3. Pengecasan Nirwayar Pantas Menjadi Standard
Xiaomi dan Oppo adalah antara dua syarikat yang serius dalam pembangunan teknologi sistem pengecasan pantas nirwayar. Xiaomi sedang menguji 80W dan Oppo pula 65W. Jika pengecasan berwayar untuk telefon kini boleh mencapai lebih 100W, kenapa pengecasan nirwayar tidak boleh? Xiaomi bekerjasama dengan Qualcomm, yang mana adalah piawaian seakan Quick Charge dan Oppo pula meneruskan inovasi teknologi VOOC mereka.

OnePlus sebelum ini hadir dengan OnePlus Warp Charge 30 Wireless Charger. Tahun ini, OnePlus dikatakan akan hadir dengan versi 45W pula untuk OnePlus 9 Pro.
4. Tiada Pengecas Disediakan
Macam biasa, kalau Apple sudah memulakan sesuatu – jenama lain turut akan ikut. Tahun lepas, iPhone 12 dilancarkan tanpa pengecas di dalam kotak. Selepas itu, Samsung dilaporkan akan melakukan hal yang sama, Mi 11 juga tidak mempunyai pengecas dan tidak terkejut kalau tahun ini jenama lain akan lakukan hal yang sama.

Ini adalah untuk membantu alam sekitar daripada pelbagai pencemaran, lebih-lebih lagi sisa elektronik. Kalau ada pengecas pun, mungkin sesebuah jenama itu akan jual pada harga murah atau hanya sediakan model lama atau pengecas asas sahaja. Jika mereka hebat, mungkin akan tawarkan cara yang mana Xiaomi tawarkan.
5. Peranti Dengan Skrin Mini-LED Menjadi Ikutan
Tahun 2021 adalah tahun yang baru dan harapnya lebih baik dari tahun lepas. LCD yang sudah lama digunakan akhirnya akan mempunyai pengganti iaitu mini-LED. Panel mini-LED mempunyai kualiti yang lebih hebat, tetapi masih lagi berasaskan LCD.

Apple dilaporkan akan hadir dengan MacBook dan iPad dengan panel ini. Buat masa ini, panel mini-LED tidak digunakan oleh banyak peranti kerana kos yang tinggi. Tetapi kalau Apple dah mulakan, jenama lain akan ikut dan permintaan panel ini akan meningkat dan barulah harga kos rendah dan boleh digunakan pada lebih banyak peranti. Harap tahun ini kita boleh lihat beberapa telefon dengan mini-LED.
6. Kamera 108MP Pada Peranti Mampu Milik
Jika tahun lepas Mi Note 10 Lite hadir dengan kamera 108MP dan dijual pada harga yang amat mampu milik, sedangkan banyak peranti dengan lensa kamera ini dijual pada harga mahal atau digunakan pada peranti mercu. Xiaomi berjaya tawarkan pada peranti kelas pertengahan.

Seperti sebelum ini yang berlaku pada lensa 48MP dan 64MP. Jadi tahun ini tidak mustahil untuk ada lebih banyak peranti kelas pertengahan mampu milik hadir dengan kamera ini. Malah lebih hebat jika ada peranti kelas pertengahan asas atau peranti kelas permulaan hadir dengan kamera 108MP dengan harga bawah RM1000.
7. Pupusnya Port MikroUSB
Akhirnya semakin banyak peranti mula menggunakan port sambungan USB-C pada tahun lepas. Malah penggunaan ini telah berterusan pada peranti kelas permulaan seperti Poco M3. Realme sahaja yang masih menjual peranti baru dengan mikro USB. Setelah berkurun lamanya, sepatutnya USB-C sudah menjadi standard.

Tahun ini harapnya tiada lagi peranti atau gajet hadir dengan port mickro USB, kerana tahun 2021 harapnya akan menjadi tahun di mana port ini pupus.
8. Rakaman Video 8K 60FPS
Nubia Red Magic 3s adalah antara peranti terawal hadir dengan sokongan rakaman video 8K, tetapi terhad kepada 15FPS. Tahun lepas, rakaman video 8K 30FPS akan menjadi sesuatu yang biasa untuk telefon pintar yang menggunakan Snapdragon 865. Tetapi masih tiada peranti yang mampu menyokong rakaman 8K 60FPS.

Kami ramalkan sekali lagi untuk tahun ini, akan ada peranti yang menyokong rakaman dengan resolusi ini. Besar kemungkinan Oppo, Samsung atau Apple akan hadir dengan sokongan ini terlebih dahulu. Mungkin Nubia boleh sekali lagi menjadi yang terawal?
9. Peranti Skrin Boleh-Gulung Mula Dijual
Kalau anda rasakan peranti dengan skrin boleh-lipat adalah terlampau berteknologi tinggi dan belum bersedia untuk digunakan. Bagaimana dengan peranti dengan skrin boleh-gulung? Konsep peranti dengan skrin boleh gulung sudah diperlihatkan sejak beberapa tahun lepas lagi. Televisyen dari LG sudah pun ada yang skrinnya boleh digulung, jadi tahun ini adalah giliran telefon pintar pula untuk menggunakan panel skrin ini.

LG adalah antara yang terawal menyatakan tahun 2021 adalah tahun mereka akan mula menjual peranti ini. Mereka dilaporkan akan menggunakan nama LG Rollable. Oppo pula telah memperlihatkan konsep Oppo X 2021. Oppo katakan mereka belum bersedia lagi untuk menjual peranti ini, walaupun sudah menggunakan skrin tahan lasak. Kalau LG dan Oppo sudah, apakah alasan dari jenama lain pula? Harga peranti mungkin akan mencapai seperti Galaxy Fold2, kerana ia adalah yang terawal dan pasti mahal.
10. Harga Model Asas Peranti Mercu Semakin Meningkat
Akhir sekali, merujuk kepada laporan TSMC tidak lagi akan menawarkan diskaun penghasilan cip di kilang mereka. Ini akan meningkatkan lagi kos sesebuah peranti. Tahun lepas, peranti mercu mula dijual pada harga yang lebih mahal kerana cip Snapdragon 865 yang dijual bersama-sama dengan modem 5G. Tetapi pada ketika itu, diskaun masih diberikan lagi.

Dengan tidak memberikan diskaun dan 5G, cip-cip akan mempunyai kos yang tinggi dan tidak terhad kepada peranti mercu sahaja. Tahun 2021 jangan terkejut kalau peranti dijual pada harga yang lebih mahal untuk model asas. Tidak kiralah Realme C ke, Xiaomi Mi, Oppo A, OnePlus Nord dan banyak lagi – harga model asas pasti mahal. Xiaomi Mi 11 walaupun peranti baru dan adalah yang pertama dengan cip Snapdragon 888, tetapi dijual pada harga sekitar RM2,400 sahaja. Ini kerana sistem MIUI ada iklan, iaitu sumber pendapatan lain untuk Xiaomi.
Apa pula ramalan anda? Adakah anda bersetuju dengan ramalan-ramalan kami ini ataupun sekali lagi setiap jenama kekal berdegil dengan hanya memikirkan keuntungan tanpa belas kasihan terhadap pengguna? Kongsi pendapat anda dengan kami di ruangan komen.