Samsung Galaxy M02s Turut Dilancarkan Pada 7 Januari 2021

Diterbitkan pada Jan 4, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung kini mengesahkan bahawa mereka bakal hadir dengan sebuah lagi peranti di bawah siri Galaxy M tidak lama lagi. Peranti yang dimaksudkan adalah Samsung Galaxy M02s dan ia disahkan hadir secara rasmi pada 7 Januari 2021. Perkara ini dikongsi oleh pihak Samsung sendiri menerusi sebuah video pendek berdurasi 30 saat. Melaluinya, ia sedikit sebanyak memberi bayangan kepada kita semua berkaitan rekaan dan spesifikasi pada peranti.

Di mana, Samsung Galaxy M02s dilengkapi panel hadapan jenis bertakuk kecil. Binaan pada peranti juga kelihatan nipis, selain menempatkan dua butang fizikal yang dipercayai berfungsi sebagaI butang kuasa dan laras suara pada sisi kanan. Seterusnya, panel belakangnya dilihat hadir dengan kemasan berjalur bersama sokongan sistem tri-kamera utama yang disusun secara menegak dalam modul kamera berbentuk segi empat. Tiada sebarang bayangan sokongan pengimbas cap jari fizikal yang dapat dilihat – sekaligus ianya berkemungkinan hadir dengan pengimbas cap jari pada skrin.

Pada penghujung video, dapat dilihat Samsung Galaxy M02s disahkan mempunyai paparan bersaiz 6.5-inci HD+ dan memori 4GB RAM. Dalam pada itu, perkataan ‘Max Up’ yang turut kelihatan pada video berkenaan sekaligus menjawab segala tanda tanya orang ramai mengenai poster acah yang tersebar sebelum ini. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal terjawab pada pelancaran rasmi kelak.

Sekadar selingan, pada tarikh yang sama juga kita bakal menyaksikan pelancaran untuk satu lagi peranti iaitu Realme V15. Jadi, kekal setia dengan kami di Amanz untuk lebih kemaskini lanjut berkaitan kesemua peranti ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami