Cari @ Amanz

Windows 10 tidak dinafikan adalah sistem operasi yang menarik. Konsep yang diperkenalkan pada Windows 8, Windows 8.1 diperbaiki dan diperbaharui pada Windows 10 agar pengalaman penggunaan lebih memuaskan. Tetapi sejak kebelakangan ini, setiap kemaskini Windows 10 tiada perubahan antaramuka yang drastik yang boleh membezakan antara versi Windows 10 lama dan Windows 10 baharu. Sejak dilancarkan pada 2015, hanya beberapa kali sahaja kemaskini antaramuka – itu pun secara kecil-kecilan dan hanya menjadikan ia kelihatan lebih kemas.

Banyak kemaskini Windows 10 memfokuskan kepada pengguna perusahaan. Tetapi kemaskini besar tahun ini, iaitu Sun Valley dilaporkan akan membawakan perubahan antaramuka yang drastik. Perubahan ini akan dilihat pada Start Menu, Action Center, Taskbar, dan aplikasi-aplikasi Windows. Melalui kemaskini ini, sumber menyatakan yang Microsoft ingin menawarkan sistem operasi yang terbaik untuk semua dan bukan kepada golongan tertentu.

Informasi ini diperoleh dari senarai kerja kosong yang Microsoft senaraikan, khusus untuk pasukan yang akan mengubah antaramuka sistem operasi. Menurut sumber, kemaskini Sun Valley untuk Windows 10 masih lagi dalam pembangunan dan dianggarkan versi percubaan akan tiba seawal hujung Februari. Sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd