Samsung Akan Memperkenalkan Paparan Skrin OLED Dalam Pelbagai Saiz Untuk Komputer Riba

Diterbitkan pada Jan 5, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

2021 boleh dikatakan tahun dimana kita akan memperlihatkan kemajuan yang cukup besar dari segi prestasi komputer riba. Selain daripada CPU dan kad grafik, satu lagi aspek yang biasanya diberi penekanan penting ialah paparan skrin.

Samsung bukanlah satu nama yang asing apabila bercakap mengenai pembangunan panel paparan skrin. Teknologi OLED dan QLED mereka adalah diantara yang terbaik di pasaran sekarang, dan Samsung nampaknya ingin memfokuskan paparan tersebut di arena komputer riba secara meluas.

Samsung mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan 10 paparan OLED untuk komputer riba, dari 13.5 inci sehinggalah 16 inci, dan dari resolusi serendah Full HD ke 4K bergantung kepada keperluan pembangun komputer riba.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai paparan-paparan ini, tetapi mereka dijangka akan hadir dengan pilihan kadar segar semula yang lebih tinggi berbanding paparan LCD, dan akan menyokong gamut warna DCI-P3 sebanyak 120 peratus.

Samsung dijangka akan mengilangkan paparan-paparan OLED ini bermula bulan Februari 2021 kelak, dan kita nampaknya akan memperlihatkan lebih banyak komputer riba yang menggunakan paparan OLED pada tahun ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami