Siri Komputer Riba Dell Latitude 9000 Diperkenalkan – Dilengkapi CPU Intel Tiger Lake Dan Sokongan 5G

Siri Komputer Riba Dell Latitude 9000 Diperkenalkan – Dilengkapi CPU Intel Tiger Lake Dan Sokongan 5G

Diterbitkan pada Jan 5, 2021 oleh .

2020 menyaksikan kebanyakan perniagaan berubah 180 darjah dimana orang ramai kini kebanyakannya bekerja dari rumah sahaja. Perkhidmatan telesidang seperti Google Meet, Microsoft Teams, Zoom dan sebagainya semakin banyak digunakan untuk para pekerja berkolaborasi dengan satu sama lain dari jauh.

Sempena acara CES 2021 yang bakal berlangsung, Dell mengemaskini siri komputer riba Latitude mereka, yang terdiri daripada Dell Latitude 9420 dan Dell Latitude 9520 yang dikuasakan oleh siri CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake.

Berbeza dengan komputer riba yang lain, Dell Latitude 9420 dan Latitude 9520 ini dikuasakan dengan CPU Intel Tiger Lake vPro yang hadir dengan ciri sekuriti dan penyulitan tambahan, sesuai untuk mereka yang bekerja dalam sektor korporat.

Dari segi spesifikasi lain, siri komputer riba ini hadir dengan konfigurasi memori DDR4 sehingga 32GB dan juga storan SSD NVMe PCIe sebesar 1TB, manakala kemampuan grafiknya adalah bergantung kepada cip pemprosesan grafik Iris Xe yang terbina didalam cip pemprosesan komputer.

Selain daripada itu, kedua-dua laptop ini juga hadir dengan paparan bersaiz 14 inci (ataupun 15.6 inci untuk Latitude 9520) dimana pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan resolusi 2560×1600 ataupun Full HD bergantung kepada keperluan mereka.

Salah satu daripada ciri baru yang diperlihatkan pada komputer riba Dell Latitude ialah SafeShutter, iaitu sebuah ciri yang akan menutup kamera web komputer riba ini apabila ia tidak digunakan. Ia juga akan tampil dengan butang khusus untuk mengunci mikrofon untuk memudahkan proses menyenyapkan mikrofon.

Lebih menarik lagi, Dell Latitude 9420 dan Latitude 9520 ini juga hadir dengan pilihan untuk sokongan kepada rangkaian LTE ataupun 5G jika diperlukan, untuk sambungan internet yang pantas tidak kira dimana anda berada.

Menurut Dell, siri komputer riba Dell Latitude 9420 dan Dell Latitude 9520 ini akan tiba di pasaran antarabangsa pada musim bunga 2021, sekitar bulan April kelak.

Dell Latitude akan hadir dengan tanda harga permulaan $1949 (~RM8000), manakala tanda harga untuk Dell Latitude 9520 akan diperlihatkan kelak.



Paling Popular