Dell Memperkenalkan Paparan Skrin Melengkung Ultra-lebar Dell UltraSharp 40 WUHD

Dell Memperkenalkan Paparan Skrin Melengkung Ultra-lebar Dell UltraSharp 40 WUHD

Diterbitkan pada Jan 6, 2021 oleh .

Selain daripada siri komputer desktop dan komputer riba mereka, Dell juga cukup terkenal untuk siri paparan skrin UltraSharp mereka yang sering digunakan oleh pereka profesional untuk tujuan mencipta rekaan-rekaan kreatif.

Selain daripada siri komputer riba Dell Latitude 9000 yang diperkenalkan mereka, Dell turut memperlihatkan paparan skrin UltraSharp dengan rekaan ultra-lebar melengkung pertama mereka yang dinamakan Dell UltraSharp 40.

Dell UltraSharp 40 ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 40 inci yang mempunyai resolusi 5K ataupun 5,120 x 2,160 dengan lengkungan 2500R dan kadar segar semula 60Hz.

Dari segi pilihan I/O, paparan skrin ini dilengkapi dengan pilihan yang cukup banyak, termasuklah sokongan untuk port HDMI 2.0, DisplayPort 1.4, USB 3.2 dan juga Thunderbolt 3 yang boleh digunakan untuk mengecas komputer riba anda.

Untuk ciri-ciri produktiviti, Dell UltraSharp 40 ini hadir dengan sokongan untuk gamut warna sRGB 100 peratus, Rec.709 100 peratus dan DCI-P3 sebanyak 98 peratus, dengan delta warna E<2.

Selain daripada itu, untuk melindungi mata anda daripada sinaran cahaya berbahaya akibat penggunaan komputer yang lama, Dell UltraSharp 40 ini juga dilengkapi dengan fungsi Dell ComfortView Plus yang mengurangkan cahaya biru yang boleh merosakkan mata anda.

Menurut Dell, paparan skrin Dell UltraSharp 40 ini akan tiba ke pasaran global bermula 28 Januari ini dan akan dijual pada harga $2100 (~RM8400).



Paling Popular