Cari @ Amanz

Pada tahun 2019, Dell telah melancarkan komputer desktop modular mereka, Dell Optiplex 7070 Ultra yang boleh dimuatkan di belakang bahagian paparan sebuah paparan skrin, khususnya paparan Dell sendiri.

Kini, Dell telah mengemaskini komputer modular Dell Optiplex mereka dengan model Dell Optiplex 3090 dan Optiplex 7090 Ultra yang hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan yang sesuai untuk kegunaan di pejabat dimana ruang tidak begitu banyak.

Dari segi spesifikasi, Dell Optiplex 3090 hadir dengan pilihan CPU Intel Core i3-1115G4 , Intel Core i5-1154G7 dan Intel Celeron 6305. Untuk model Optiplex 7090 Ultra pula, ia juga hadir dengan pilihan untuk CPU Intel Core i7-1185G7.

Dari segi memori pula, kedua-dua komputer ini boleh dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 64GB dan juga storan cakera keras SATA, SSD NVMe ataupun eMMC bergantung kepada bajet dan spesifikasi yang diperlukan.

Untuk Optiplex 3090, ia hadir dengan sejumlah kecil port terbina, termasuklah dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-C, satu palam RJ-45 dan satu palam DisplayPort 1.4.

Menurut Dell, komputer modular Dell Optiplex 3090 dan Dell Optiplex 7090 Ultra ini akan mula ditawarkan di pasaran antarabangsa bermula 28 Januari 2021 pada harga permulaan $659 dan $769.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd