Tile Dilaporkan Akan Hadir Dengan Penjejak Objek Dengan Cip Ultra Wideband

Tile Dilaporkan Akan Hadir Dengan Penjejak Objek Dengan Cip Ultra Wideband

Diterbitkan pada Jan 6, 2021 oleh .

Tile adalah jenama aksesori penjejak objek yang agak terkenal. Berbanding jenama lain yang tidak begitu dikenali orang ramai, Tile mempunyai nama kerana syarikat mereka hanya menghasilkan produk-produk penjejak objek sahaja dan produk mereka di luar negara dijual di kedai fizikal Apple. Mereka ada banyak variasi, dari rantai kunci, pelekat, jenis pad dan banyak lagi.

Terkini, TechCrunch melaporkan yang Tile akan hadir dengan aksesori penjejak objek yang akan menggunakan cip UWB. UWB atau nama penuhnya adalah teknologi Ultra Wideband adalah cip sambungan seakan WiFi dan Bluetooth, tetapi untuk jarak pendek dan menggunakan gelombang radio pada kadar frekuensi yang tinggi. Melaluinya, pelbagai perkara boleh dicari, dijejak atau dikawal.

UWB adalah untuk penjejakan yang lebih jitu. Samsung gunakannya pada Note20 Ultra untuk perkongsian fail atau kelak untuk kawalan peranti berhubung. Apple pula untuk perkongsian fail AirDrop yang lebih tepat, Xiaomi ada menguji teknologi ini untuk peranti berhubung melalui Mi 10 Ultra dan kini Tile akan hadir dengan aksesori yang mempunyai cip ini terbina.

Aksesori Tile ini dikatakan akan hadir dalam bentuk yang lebih kurang sama dengan produk sebelum. Mungkin kekal bentuk segi empat, leper, ada lubang untuk rantai kunci atau jenis pelekat. Tile turut dilaporkan akan mengemaskini aplikasi mereka untuk sokongan realiti terimbuh – AR. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menggunakan kamera untuk mencari lokasi sesuatu objek dengan lebih tepat. Bila ia akan dilancarkan? Masih tiada informasi, sama-sama kita nantikan kelak.



Paling Popular