Cari @ Amanz

Redmi Note 9T adalah peranti kedua dalam siri Redmi Note 9. Redmi Note 9 dilancarkan pada awal tahun lepas dan peranti ini berkemungkinan besar adalah penjenamaan semula Redmi Note 9 5G. 8 Januari ini Xiaomi akan melancarkan Redmi 9T dan Redmi Note 9T, tetapi pihak Amazon telah secara tidak sengaja berkongsi sedikit butiran spesifikasi untuk Redmi Note 9T.

Peranti ini akan menggunakan skrin DotDisplay 6.53-inci dengan kadar segar semula 90Hz. Ia akan dijana dengan cip MediaTek Dimensity 800U, tri-kamera 48MP dan bateri 5000mAh. Peranti ini turut mempunyai sokongan NFC. Untuk memori, peranti ini dilihat hanya mempunyai memori 4GB RAM dan pilihan storan dalaman 64GB atau 128GB.

Peranti ini turut akan hadir dengan kamera swafoto 13MP dan pembesar suara stereo. Ia dikatakan masih menjalankan MIUI 12 dan bukannya MIUI 12.5 seperti Mi 11. Amazon Jerman menyenaraikan yang peranti ini akan dijual pada harga 229.90 Euro dan 269.90 Euro, iaitu sekitar RM1135 dan RM1332. Tetapi harga di Jerman sentiasa mahal kerana cukai, jika ditolak harga mungkin sekitar RM999-RM1099. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan pelancaran peranti ini pada 8 Januari.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd