Redmi 9T akan dilancarkan pada 8 Januari ini. Peranti ini adalah siri terbaru Redmi 9T, iaitu pengganti kepada siri Redmi 9. Bagi yang tidak tahu, Redmi 9T ini dilihat mirip dengan Redmi 9 Power yang dilancarkan di India dan Redmi Note 9 4G di China.

Jadi spesifikasi berkemungkinan besar adalah sama dan strategi Xiaomi biasanya hanya mengubah pilihan memori sahaja. Baru-baru ini, Xiaomi Malaysia telah mengacah kehebatan kamera peranti ini. Ia memfokuskan kepada modul kamera peranti ini yang mempunyai kuad-kamera. Tiada spesifikasi yang dikongsi, tetapi jika ia sama dengan dua peranti lain tadi – tetapan kameranya mungkin adalah 48 + 8 + 8 + 2 Megapixel dengan kamera swafoto 8 Megapixel.
Peranti ini akan dijana dengan cip Snapdragon 662 dengan pilihan memori 4GB RAM dan storan 64GB atau 128GB. Skrin adalah 6.53-inci FHD+, mempunyai pembesar suara stereo, bateri 6000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W. Harga jualan mungkin adalah bawah RM900. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.