Microsoft Edge serba baharu yang berasaskan Chromium sudah pun berusia sekitar setahun. Tetapi selama ini, pelayar web ini masih tidak menyokong fungsi menyelarikan tab dan sejarah laman web yang dilayari secara rentas platform seperti Chrome. Jika anda buka tab di Chrome versi Android dengan akaun Google yang sama anda boleh sambung melayari laman web yang sama pada peranti lain seperti iOS atau Windows. Kemudian setiap sejarah turut boleh diakses di antara peranti.

Akhirnya, Microsoft Edge menawarkan kemampuan ini selepas sekian lama tetapan untuk aktifkan fungsi ini dimatikan. Pengguna di United Kingdom dilihat antara yang terawal menerima fungsi ini. Anda boleh kemaskini sahaja Microsoft Edge kepada versi terkini dan semak di Settings > Profiles > Sync – jika bahagian History dan Open tab boleh ditekan bermakna anda sudah boleh menggunakannya.
Fungsi ini sudah diedarkan kepada pengguna beta Windows November tahun lepas dan akhirnya telah menjadi stabil. Microsoft Edge boleh dikatakan adalah pesaing Chrome terbaik kerana prestasinya yang hebat.