Twitter adalah platform media sosial yang popular, yang mana turut digelar sebagai mikro blog. Twitter lebih dikenali dengan siaran dalam bentuk bebenang serta kandungan teks dengan aksara yang terhad. Seperti kebanyakan aplikasi media sosial lain, Twitter turut memampatkan saiz gambar ketika dimuat naik menjadikan ia dipaparkan pada resolusi rendah.

Facebook turut mempunyai fungsi muat naik video dan gambar HD, tetapi tetapan perlu diaktifkan sendiri. Twitter kini menguji kemampuan yang lebih kurang sama, iaitu muat naik dan boleh paparkan gambar beresolusi 4K. Fungsi ini hadir dalam versi beta v8.76, di mana pengguna akan melihat pilihan Load 4K di menu tiga titik ketika melihat gambar di Twitter. Untuk memuat naik pula, pengguna perlu pergi ke Settings and privacy > Data usage > High quality image upload untuk mengaktifkannya.

Fungsi ini sudah ditawarkan kepada pengguna iOS tahun lepas, akhirnya pengguna Android pula dapat menikmati fungsi ini. Buat masa ini ia masih lagi beta, walaupun sudah sideload pada peranti Pixel 4 XL APK versi beta ini – ia tidak dapat diaktifkan pada peranti kami. Ia mungkin diedarkan secara berperingkat.