Kpop ialah genre muzik paling hangat sekarang. Walaupun berasal dari Korea Selatan, gelombang kpop boleh dirasai di Malaysia dan juga negara barat yang selama ini tidak terbuka kepada muzik dari Timur. Dengan kepopularannya, tidak mengejutkan anak muda kini menyimpan hasrat untuk menjadi artis kpop seperti Blackpink Dan BTS. Bagi mereka yang ingin mendapatkan latihan profesional, EDKpop kini menawarkannya secara atas talian.

EDKpop ialah syarikat tunas rintis yang mendapat perhatian Samsung C-Lab. Menerusi langganan bulanan, penuntut boleh mengakses video latihan vokal, tarian, solekan serta gaya dan kesihatan yang sesuai untuk seorang artis kpop. Tenaga pengajar EDKpop juga bukan calang-calang kerana adalah antara nama besar dari SM Entertainment.
Selain menonton video latihan secara atas talian, setiap pelajar akan turut menerima maklum balas dari tenaga pengajar sebulan sekali bagi memperbaiki kelemahan. Apabila kemahiran pelajar semakin meningkat, mereka kemudiannya boleh menyertai uji bakat dari beberapa syarikat rakaman seperti SM Entertainment, PLEDIS dan banyak lagi.
EDKpop sudahpun beroperasi dengan bayaran bermula dari $99 (~RM397) sebulan, $89 (~RM357) sebulan (untuk 6 bulan) dan $69 (~RM277) sebulan (untuk setahun).