Cari @ Amanz

The Mandalorian adalah siri TV sampingan Star Wars yang disiarkan di Disney+ dan cara penggambaran siri TV ini dilayani seakan menghasilkan filem. Menurut laporan satu episod The Mandalorian menelan kos sebanyak RM60,315,000. Siri TV ini turut dihasilkan dengan kaedah CGI yang berbeza dan lebih realistik.

Biasanya filem atau siri TV bertemakan angkasa lepas akan melakukan penggambaran di dalam studio dengan latar belakang skrin hijau atau biru. Tetapi, The Mandalorian menggunakan panel skrin dan grafik atau latar belakang yang dihasilkan adalah dari Unreal Engine. Grafik ini juga kelihatan realistik, cantik, ada butiran yang jelas serta turut membantu memberi cahaya tambahan ketika penggambaran.

Ini menjadikan tempoh suntingan lebih singkat, tempoh rakaman lebih pantas dan secara keseluruhan memudahkan lagi proses penggambaran. Terkini, Sony dilaporkan ingin menjual panel skrin modular untuk tujuan penggambaran filem. Panel ini menggunakan teknologi Crystal LED yang digunakan pada televisyen Bravia. Cip pemprosesan X1 turut digunakan dan panel ini adalah jenis modular.

Panel ini turut mempunyai lapisan kemasan pusam anti-pantulan cahaya, mampu memaparkan imej dengan nilai dinamik yang tinggi, menyokong paparan 3D dan kadar segar semula mencapai 120FPS. Dua variasi akan ditawarkan iaitu siri B dan siri C. Siri B dibangunkan bersama-sama dengan Sony Pictures Entertainment untuk kecerahan yang lebih baik, manakala siri C adalah untuk nisbah kontras.

Dengan penawaran dari Sony ini, kelak akan lebih banyak filem atau siri TV dapat dihasilkan dengan kualiti seakan The Mandalorian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd